Monday, June 14, 2010

"PECAT" Pedagang Judi


Saya mengalu-alukan pendirian tegas UMNO Johor terhadap isu pemberian lesen judi sukan kepada Syarikat Ascot Sport milik Tan Sri Vincent Tan seperti yang diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungannya, Dato’ Abdul Ghani Othman.

Keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira pandangan dan luahan hati sebahagian besar masyarakat Johor yang jelas menolak kedangkalan usaha kerajaan dalam menghalalkan perjudian sukan seperti yang dicadangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Dr Awang Adek Hussein.

Meskipun bakal berhadapan dengan tekanan politik dari dalam parti, saya percaya keberanian UMNO Johor dalam menyuarakan ketidakpersetujuan terhadap isu ini adalah selaras dengan prinsip “1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” yang seharusnya dihormati.

Perkembangan terbaru ini bakal meningkatkan momentum “Gerakan Rakyat Bantah Judi” yang semakin mendapat sambutan dan dukungan rakyat termasuklah tokoh bola sepak Negara.

Justeru, PM digesa agar segera membuat keputusan yang tepat dan tidak lagi bermain tarik tali dengan rakyat jika masih mahu berkhidmat dan kekal memerintah.

Dalam pekembangan yang berasingan, saya mencadangkan agar semua yang terlibat dalam isu ini dipecat dari menyandang segala darjah kebesaran yang telah diterima dari “Pihak Istana” baik yang bergelar "Datuk" "Tan Sri" mahupun "Tun" sekiranya ingin meneruskan usaha gila mereka dalam memastikan kelulusan lesen berkenaan.

Hal ini dapat memberi pengajaran kepada semua pihak agar lebih berhati-hati dengan setiap cadangan, keputusan dan tindakan mereka supaya mengambil kira kesan langsung terhadap masyarakat secara umumnya.

Dalam pada itu, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalullail semasa melancarkan Hari Belia Negara 2010 peringkat negeri yang lalu agar semua pihak maklum dan mengambil tindakan proaktif terhadap penularan gejala sosial di kalangan anak muda wajar diperhalusi dengan sebaiknya.

Selain isu buang bayi, samseng jalanan dan penyalah guanaan dadah seperti yang dinyatakan, judi siber juga dilihat sebagai penyakit yang berpotensi untuk membarah di kalangan generasi muda walaupun ramai yang berpandangan bahawa ia sudah menjadi barah.

Saya ingin melahirkan kebimbangan sekiranya judi sukan tersebut tidak dihalang dan ditangai dengan sebaiknya, ia bakal mewujudkan budaya negetif baru di kalangan generasi muda yang pastinya akan menjejaskan usaha kerajaan dalam membangun modal insan cemerlang seperti yang diharapkan untuk memastikan kejayaan RMK-10 dan RMK-11 menjelang 2020.

“Judi Sukan memperjudi Wawasan 2020”

No comments:

Post a Comment