Tuesday, August 10, 2010

Senarai Pimpinan PKPIM Sesi 2009-2010

"Dari jatuh kita bangun bersama,
dari merangka kita lari bersama,
dari kerdil kita memperhibah bersama"

Kolonel Jihad: Antara Mitos dan Realiti

Banyak sekali yang mendesakku dengan persoalan apakah sebenar-benarnya yang menyebabkan aku dihumban ke Kem Tahanan Kamunting untuk tiga tahun lapan bulan lamanya mulai awal 2003. Justeru, aku terpanggil untuk menitipkan senarai pertuduhan rasmi yang mensabitkan aku di bawah Akta KeselamatanDalam Negeri (ISA) bagi menjawab persoalan yang mendakapi minda kalian yang menginginkan kepastian dari ungkapan perkataan seorang bekas tahanan sepertiku.

“Bahawa kamu,...............telah bersubahat membawa masuk secara berperingkat seramai lebih 10 anggota Al-Qaeda terdiri dari warganegara Arab Saudi, Pakistan dan Afghanistan untuk mendapatkan rawatan di beberapa hospital dan pusat perubatan dengan tujuan untuk meneruskan perjuangan perang jihad ..... dan .............telah mengendalikan latihan ala ketenteraan secara sulit kepada 6 ketua kem tentera Arakan Rohingya National Organisation berasal dari Myanmar bagi menyemai dan menanam semangat jihad....dan ............telah mengadakan satu perjumpaan sulit untuk memberi latihan ketenteraan kepada sebuah negara militan dari negara jiran yang ada hubungan dengan kumpulan Al-Qaeda ...... dan .............bersama-sama dengan seorang rakyat Indonesia yangdikenali telah mengadakan latihan ketenteraan secara sulit kepada 18 militan Indonesia ...... dan ............telah Menjadi Penasihat kepada sebuah organisasi hadapan (Front Organisation) Jemaah Islamiah dalam cara-cara mengurus dan menjana dana kumpulan tersebut ....”

Satu demi satu untaian pertuduhan itu dibacakan. Dakwaan yang tercungkil dari persepsi mereka yang kabur ke atas apa yang aku lakukan demi keamanan sejagat. Namun, aku tidak berpeluang untuk membicarakan kekhilafan yang telah aku lakukan dan apayang sebenarnya yang terjadi sebelum aku ditahan. Rentetan dakwaan tersebutlah yang membawa aku bermukim di Kamunting selama 3 tahun 8 bulan. Apakah ia sekadar alasan yang berpaksikan andaian atau mungkinkah rencana tahanan ini sekadar mencegah bencana yang lebih besar umpama mengkandang kambing dari rakusan serigala yang sedang menggila mencari mangsanya?

Seingatku, hari Khamis malam Jumaat tanggal 20 Februari tahun 2003 merupakan waktu yang mengubah banyak aspek kehidupanku. Bermula dari detik lebih kurang jam 10.30 itulah aku menjadi sedar akan kewujudan bahawa andaian dan sangkaan boleh mewahamkan erti keikhlasan di dalam perjuangan. Dengan menggunakan akta polis aku diseret ke pusat reman untuk disoal-siasat dan kemudian dihumban ke Kem Tahanan Perlindungan (KEMTA) berdasarkan pertimbangan yang amat sukar ditakrifkan oleh skala keadilan asasi. Mungkin kepada yang berkenaan dengan merujuk nasihat dari ‘pakar keselamatan’ sudah cukup untuk menghukum kalian di bawah akta keselamatan dalam negeri. Persis pendapat pakar perubatan yang memungkinkan pembedahan amputasi dilakukan kepada pesakit yang perlu menyerahkan nasib tanpa mempersoalkan kesahihannya. Agaknya, keperluan pendapatkedua (second opinion) hanya menunda masa!

Sejujurnya, aku tidak tahu adakah penjelasan yang aku nukilkan di sini mampu melempiaskan jawapan bagi setiap persoalanyang acapkali kalian lumpukkan kepadaku. Aku sedar, bahasaku tidak sepuitis sasterawan negara yang bisa menguasai bait-bait ungkapan menjadi suatu coretan yang meruntun jiwa-jiwa yang membacanya.Aku hanya seorang manusia biasa yang tiada upaya menganyambahasa berbunga-bunga. Aku termegun memikirkan entah dari bahagian mana perlu aku memulakan agar ia menjadi jelas dan dapat difahami akan segenap perasaan yang telah aku pendam tujuh tahun lamanya.

Aku menghela nafas panjang yang membawa bersama harapan dan kesedihan dan begitu sukar untukku menterjemahkan kepada mereka yang telah melabelkan aku dengan pelbagai gelarandan sisipan yang menyakitkan hati setelah aku dikuburkan di Kamunting dan ditalkinkan sebagai pengganas!

Lantas, aku menggerakkan pena untuk memberitahu dunia kerana aku seringdihakimi dan bukan dimengerti…

http://coloneljihad.blogspot.com/

Reformasi Parti Sokong Partisipasi Mahasiswa dalam Politik

PKPIM merakamkan penghargaan kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) atas inisiatif yang diambil dengan menganjurkan sidang meja bulat bagi membincangkan cadangan yang dibangkitkan oleh Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi untuk membenarkan mahasiswa menyertai politik.

PKPIM menghargai keikhlasan Datuk Saifuddin, dan mahu mengajak masyarakat untuk melihatnya dari sudut yang lebih luas agar tidak menimbulkan kekeliruan dan konflik di masa hadapan.

PKPIM menyokong cadangan tersebut sekiranya didasarkan kepada usaha meningkatkan kesedaran dan mengharmonikan pendidikan politik di kalangan mahasiswa dan generasi muda amnya.

Hal ini bertitik tolak dari kebimbangan PKPIM terhadap menularnya kelompok yang “jelek politik” atau sindrom “politicophobia” di IPTA dan IPTS di Malaysia hasil dari konflik dan polemik yang berpanjangan dalam arus perdana kontemporari.

Kita khuatir, sekiranya ia tidak dibendung, peristiwa seperti “Hari Tanpa Politik” yang pernah dianjurkan di Perancis akan menjadi budaya di negara kita yang pastinya menafikan kesyumulan makna hidup manusia.

PKPIM bertegas bahawa ia seharusnya direalisasikan sebagai suatu proses penghakupayaan mahasiswa atau “youth empowerment” dan bukanya “party empowerment” yang menjurus kepada usaha meningkatkan sokongan generasi muda kepada parti-parti tertentu.

Justeru, usaha harus menumpu kepada aspek pembangunan dimensi kemahasiswaan secara holistik meliputi aspek idealisme, intelektualisme dan aktivisme yang akhirnya mampu melahirkan pemimpin muda yang berketerampilan dan berdaya saing.

Oleh hal yang demikian, PKPIM merasakan perlunya tiga perkara berikut diambil perhatian agar cadangan tersebut benar-benar mendatangkan manfaat kepada mahasiswa dan negara keseluruhannya.

Pertama, perlunya perubahan minda politik pimpinan parti, pegawai universiti dan ibu bapa serta masyarakat.

Pimpinan politik harus benar-benar ikhlas menerima mahasiswa sebagai pemain utama dan bukannya sekadar penyokong setia atau pemain yang hanya memanaskan bangku simpanan. Pegawai universiti perlu berperanan sebagai fasilitator dalam memudahcara pergerakan mahasiswa dalam dunia politik dan tidak sebagai hakim penentu benar salah sesuatu parti. Ibu bapa dan masyarakat pula harus lebih terbuka dan menyokong dengan nasihat-nasihat yang bernas bagi memandu mahasiswa mendepani cabaran politik.

Kedua, parti harus berjiwa besar dalam membuka ruang dan peluang yang lebih luas kepada mahasiswa selaras dengan usaha memaksimumkan kapasiti intelektual dan aktivisme mereka yang cenderung menjadi golongan yang idealis dan kritikal terhadap sesuatu perkara khusunya yang melibatkan kebajikan rakyat.

Selaras denga peranan mahasiswa sebagai minda kritikal rakyat, “critical mind of the society” yang insaf dengan suara terbanyak, “conscience of the majority” maka mahsiswa tidak harus sekadar pemasang bendera, penjaga pondok panas, dan tok dalang dalam berkempen tetapi rakan berdebat dan teman berbincang dalam menentukan halatuju dan wawasan parti dan negara.

Ketiga, mengekalkan identiti kemahasiswaan dan melestarikan tanggungjawabnya sebagai agen pencetus perubahan “agent of changes” yang mendukung usaha memurnikan dunia politik rimba kepada politik hikmah selaras dengan aspirasi yang pernah disuarakan oleh Datuk Saifuddin.

ABU QASSIM NOR AZMI

Setiausaha Agung PKPIM Sesi 2010-2011

Majlis Perhimpunan Tahunan PKPIM Kali Ke-49 (MPAT-49)

Seminar Maqasid Syariah: Menggagas Model Ekonomi Berkeadilan Sempena Ijtimak Harakiy Pertama

Malam Puisi Riong ABIM-Berita Harian