Thursday, September 17, 2009

Memupuk Budaya Integriti dan Inovasi

Jawatankuasa Induk Gerakan Massa
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
16 September 2009 bersamaan 26 Ramadhan 1430 H

Statistik menunjukkan golongan belia yang berumur 15 hingga 40 tahun meliputi lebih 40 peratus daripada penduduk Malaysia. Daripada peratusan ini, sebahagiannya adalah terdiri daripada kalangan pelajar dan mahasiswa. Umum mengetahui, generasi belia berintegriti diharap dapat mewarisi tampuk kepimpinan negara pada masa akan datang.

Belia yang dikatakan berintegriti ialah mereka yang menjaga adab dan sahsiah diri dari pelbagai penyakit sosial seperti keruntuhan akhlak dan moral dan keterlibatan dalam jenayah. Sebaliknya, realiti hari ini menyaksikan golongan belia ini sering dikaitkan dengan penyakit-penyakit sosial seperti penyalahgunaan dadah, pergaulan tanpa batas, budaya hedonisme dan yang lebih memeranjatkan potensi amalan rasuah yang semakin meningkat.

Meskipun permasalahan integriti tidak hanya berkisar di sekitar persoalan rasuah, namun, sebagai pewaris kepimpinan mendatang, isu ini harus dipandang serius kerana ia dilihat sebagai inti permasalahn dalam kepincangan sosial, ekonomi dan politik negara pada hari ini.

Sebagai contoh, pada tahun 2002, sebuah kajian persepsi awam dikalangan belia telah dijalankan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM). Dapatan kajian mendapati 31 peratus pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sanggup menerima rasuah sekiranya mereka mempunyai kuasa dan peluang.

Selain itu, merujuk Indeks Persepsi Rasuah bagi tahun 2008 yang dikeluarkan oleh Transparency International, Malaysia berada di kedudukan ke-47 daripada 180 buah negara dengan purata indeks 5.1. Walaupun kita jauh lebih baik daripada Indonesia dan Thailand, namun kita juga masih jauh ketinggalan berbanding Singapura yang berada di tangga keempat dengan purata indeks 9.2 dibelakang Denmak, New Zealand danSweeden. Malaysia juga mencatatkan kejatuhan yang signifikan jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa pengamalan integriti dalam diri masyarakat khususnya golongan belia, pelajar dan mahasiswa adalah masih di tahap yang membimbangkan. Meskipun memiliki kemudahan infrastruktur yang setanding dengan negara-negara maju yang lain, namun kita masih terbelenggu dengan pemikiran dan citra kehidupan negara kelas ketiga yang membelakangkan aspek integriti.

Terdapat beberapa faktor yang menyahintegritikan bangsa Malaysia khususnya di kalangan mahasiswa yang menjadi penyumbang kepada berlakunya penularan gejala rasuah ini. Antara faktor-faktor tersebut adalah:-

1. kurangnya penghayatan terhadap ajaran agama dan prinsip moral,
2. kelemahan sistem pendidikan yang terlalu menekankan aspek gred dan pencapaian mata seraya menyisihkan pembinaan karekter unggul dan pembentukan modal insan,
3. kegagalan proses sosialisasi ekonomi dalam mengurangkan jurang pendapatan dan kadar kemiskinan tegar di kalangan rakyat yang menjurus kepada suasana tidak stabil dan harmoni,
4. kegagalan penguatkuasaan undang-undang dan pelaksanaan dasar yang sekadar bermusim dan selektif,
5. kepincangan politik ekstrem yang menafikan politik hikmah dalam sarwa kepemimpinan negara yang terkait secara langsung dengan pembentukan pola fikir mahasiswa yang jumud dan tertawan.

Gejala rasuah yang semakin menular ini jika tidak dibendung dari semasa ke semasa akan merosakkan jatidiri masyarakat dan generasi muda serta menggagalkan hasrat kerajaan menerusi TEKAD 2008 yang antaranya membenteras budaya rasuah dan penyalah gunaan kuasa secara berkesan.

PKPIM ingin melahirkan kebimbangan kami terhadap tahap integriti mahasiswa yang berpotensi untuk mengecewakan ini. Justeru, kami berpendirian dan ingin menegaskan bahawasanya:-

1. Integriti adalah teras keberdayaan “minda dan budaya cemerlang”.
2. Integriti merupakan aspirasi daripada integrasi nilai agama dan prinsip moral yang menuntut kebolehtahanan dan kepercayaan diri yang tinggi.
3. Dimensi integriti perlu bersifat integral dan holistik yang meliputi aspek penjiwaan (hati), pemikiran (akal) dan pengamalan (fizikal)

a. Pembenaran hati dengan mengelak perasaan buruk sangka dan menyuburkan sikap berlapang dada dalam diri setiap individu. Integritimengharmonikan nilai penerimaan dan toleransi seperti yang digagaskan dalam konsep 1 Malaysia. Pembentukan negara bangsa sangat terkait dengan perkara ini.
b. Pemikiran: Adil dan bijaksanan dalam mengupas dan menanggapi sesuatu isu. Mahasiswa digesa bersikap kritis dan kreatif selaras dengan wataknya sebagai “minda kritikal masyarakat” dalam mengemukakan sesuatu pandangan dan penilaian demi manfaat semua pihak.
c. Perlaksanaan sesuatu perancangan secara sistematik, efektif dan bersungguh-sungguh. Ini bagi memastikan keputusan yang berkualiti dapat dihasilkan.

4. Integriti dan dasar-dasar besar Kerajaan seperti Wawasan 2020, Islam Hadhari, 1Malaysia dan falsafah-falsafah negara perlu diharmoni dan disinergikan secara kolektif dan kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan yang lebih berobjektif.
5. Tindakan proaktif perlu diambil dengan memberi fokus kepada amalan integriti golongan mahasiswa. Ini meliputi perencanaan 25 tahun mendatang yang mensasarkan produk akhir “sifar rasuah” dikalangan pimpinan utama negara menjelang tahun 2035.

Oleh itu, tindakan proaktif yang dicadangkan perlu melalui proses 3P iaitu penyedaran, penghayatan, dan pemupukan budaya dengan strategi yang lebih berinovasi dan berkesan. Proses 3P ini boleh dihadam menerusi tindakan berikut:-

1. Menyuburkan siri diskusi dan bengkel yang komprehensif dan konsisten.
2. Memperbanyakkan penulisan artikel dan penerbitan makalah ilmiah serta karya kreatif yang mempromosi faham integriti. Melahirkan lebih ramai kartunis seperti LAT juga mampu mepelbagaikan corak penyampaian yang lebih bersahaja tetapi sarat makna kepada audience yang sukar ditembusi menerusi makalah ilmiayah biasa.
3. Meningkatkan partisipasi aktif mahasiswa dalam rancangan bual bicara terbitan media arus perdana dan alternatif di setiap rangkaian televisyen, radio dan webTV.
4. Menonjolkan tokoh atau tauladan integriti mahasiswa.
5. Menambah nilai inovasi bagi program kesedaran supaya lebih menarik dan berkesan selain memuatkan elemen-elemen integriti dalam setiap program anjuran mahasiswa.
6. Menggagaskan “Deklarasi Integriti Mahasiswa” yang menjadi guiding principle kepada setiap perancangan mahasiswa.

Bagi menjayakan misi ini, PKPIM mengesyorkan agar Sekretariat Gerakan Mahasiswa Anti Rasuah (GEMARAS) ditubuhkan di peringkat nasional bagi menangani isu ini secara lebih serius. Hal ini selaras dengan The Guatemala Declaration on Young People’sEngagement yang dirumus di Persidangan Antarabangsa Anti Korupsi ke-12 pada 2006. Keahlian GEMARAS terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA dan IPTS), pertubuhan yang berteraskan pelajar (persatuan pelajar) dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan lain yang mendukung penyuburan nilai dan pengamalan integriti. Antara tujuan penubuhan GEMARAS adalah :

1. Mengkoordinasi perencanaan gerak kerja secara sistematik dan tersusun.
2. Memantau dan menilai gerak kerja dari semasa ke semasa.
3. Mewujudkan medium perbincangan kritis terhadap isu-isu berkaitan konsep dan pengamalan integriti selaras dengan peranannya sebagai “penemu pandangan tengah”.
4. Mewakili mahasiswa dalam mendepani isu integriti di dalam dan luar negara. Mahasiswa juga perlu diberi ruang dan peluang untuk menjadi ‘mediator’ di antara pihak kerajaan dan swasta dengan masyarakat awam.
5. Memimpin momentum kesedaran dikalangan mahasiswa.

Selain itu, PKPIM juga mencadangkan agar “Forum Integriti Mahasiswa” atau singkatannya FORUM dilancarkan di seluruh IPTA dan IPTS bagi mengkoordinasi dan menggerakkan program-program di peringkat kampus. FORUM akan memastikan agenda perataan pemahaman dan pemupukan budaya berintegriti dapat dijayakan.

GEMARAS dan FORUM tidak akan sekali-kali tunduk dengan desakan kelompok ketiga yang ingin menjadi penentu mutlak salah-benar sesuatu perkara. Sikap non-partisan kedua-dua entiti ini akan terus dipertahankan agar prinsip kebenaran dan keadilan yang disandarkan kepada pertimbangan ilmu dan hikmah akan mampu memacu penyuburan identiti yang berintegriti.

Oleh hal yang demikian, PKPIM menyeru kepada semua pimpinan mahasiswa untuk terlibat secara langsung dengan GEMARAS dan FORUM bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya seperti yang diharapkan. GEMARAS dan FORUM akan membawa misi pemurnian integriti mahasiswa selari dengan tagline “Menjana Mahasiswa Berintegriti&Berinovasi” (M2I).

“Pencetus Mahasiswa Baru”

ABU QASSIM NOR AZMI
Naib Presiden PKPIM

Abu Qassim,“Inovasi memerdekakan minda, manakala integriti mendisiplinkannya... Pelajar yang berintegriti dan berinovasi mampu menyelesaikan sesuatu masalah dengan di luar jangkauan biasa yang baik untuk dirinya dan masyarakat sekeliling...Inovasi menjadikan kita kaya, integriti menjadikan kita dermawan”.

Sunday, September 13, 2009

Mahasiswa Malaysia-Indonesia Capai Pendirian Bersama

KENYATAAN MEDIA

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

14 September 2009/ 24 Ramadhan 1430 H

KONFLIK MALAYSIA- INDONESIA: GERAKAN PELAJAR DUA NEGARA CAPAI PENDIRIAN BERSAMA.


Dalam zaman di mana usia negara Malaysia dan Indonesia telah menggapai tempoh kematangan sebagai sebuah negara yang berdaulat, seharusnya isu pertikaian tentang soal-soal asasi berkaitan dengan kedua-dua negara tidak lagi timbul. Jika kita menyusuri kembali rentetan sejarah, sejak era 60-an sehingga kini, situasi hubungan kedua-dua negara tidak pernah sunyi dari konflik pertikaian yang kian lama kian menular tanpa diakhiri dengan usaha untuk mencari titik persamaan.

Permasalahan-permasalahan serumpun seperti yang dibangkitkan seringkali berlarutan dan sentiasa berulang dari semasa ke semasa, malah lebih mengecewakan, pendekatan yang diambil oleh kedua-dua pihak dalam menyambut permasalahan ini seringkali dicemari dengan kegagalan akibat dari mengambil pendekatan yang bersifat emosi semata-mata tanpa menitikberatkan soal permuafakatan yang lebih berwajah segar dan rasional. Ini bertentangan dengan wadah diplomasi yang bertujuan untuk merungkai segala punca permasalahan dan merangka penyelesaian secara kritikal.

Sepertimana yang dinyatakan, konflik antara kedua-dua negara bukanlah suatu perkara yang segar dan baru. Malah ianya seakan-akan bersifat pengulangan akibat dari kegagalan untuk menyaksikan penyelesaian ampuh berkenaaan dengan isu-isu lampau. Akibat dari kegagalan ini, dunia telah menyaksikan permasalahan yang pada asalnya adalah mudah dan kerdil, menjadi soal yang begitu merumitkan.

Sebagai contoh, Peristiwa Konfrantasi yang tercetus antara Malaysia- Indonesia pada era 1960-an telah memberi impak buruk ke atas istilah hubungan antara kedua-dua belah negara. Hal ini diburukkan lagi apabila disusuli dengan isu-isu yang lebih terkemudian seperti isu kedaulatan Ambalat, isu berkenaan dengan tenaga buruh dan pembantu rumah, soal keaslian budaya serta identiti dan sebagainya.

Malangnya, beberapa persoalan utama seperti nilai serumpun Melayu dan persaudaraan Islam seringkali dilupakan dan dikesampingkan oleh rakyat kedua-dua pihak dalam melihat konflik yang berlaku. Konflik seperti ini tidak seharusnya terjadi sekiranya kita menginsafi hakikat bahawa terdapat jalinan kekeluargaan di antara rakyat kedua-dua belah negara di mana secara realitinya susur galur keturunan rakyat kedua-dua belah pihak adalah sama. Ini terbukti dengan terdapatnya beberapa etnik Melayu di Malaysia seperti bugis, jawa, dan minang yang pada asalnya menetap di Indonesia. Dalam pada itu, suatu fakta yang tidak dapat disangkal bahawa usaha untuk memecahbelahkan rumpun kedua-dua Negara kian hebat memandangkan sekiranya kedua-dua rumpun ini berpadu ada kehuatiran untuk menjadi satu kuasa baru di ASEAN khususnya Kuasa Islam dan Melayu.

Atas keinsafan berdasarkan hakikat tersebut, maka pihak Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang mewakili seluruh pelajar Malaysia dan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) yang mewakili seluruh pelajar Indonesia telah mencapai lima rukun permuafakatan dan pendirian bersama sebagai panduan dan inisiatif untuk mencari titik noktah kepada pertikaian dan persengketaan yang telah berlarutan.

Rukun Permuafakatan Malaysia-Indonesi

1. Menginsafi nilai persaudaraan Islam dan persamaan rumpun Melayu antara rakyat Malaysia-Indonesia dalam berhadapan dengan pelbagai isu yang melibatkan kedua-dua negara.

2. Memberi keutamaan kepada pendekatan yang bersifat musyawwarah, diplomasi, perbincangan dalam menghadapi sesuatu isu yang melibatkan kepentingan bersama.

3. Menjauhi sebarang tindakan yang bersifat emosi semata-mata di mana akhirnya menjurumus kepada kekerasan dan kebuntuan dalam mencari jalan penyelesaian.

4. Menyeru genereasi pelajar kedua-dua negara untuk memupuk persefahaman yang ampuh dan jitu dalam semua aspek termasuk kebudayaan, idealisme, ekonomi, sosial, keselamatan dan sebagainya.

5. Melahirkan generasi pelajar Malaysia- Indonesia sebagai agen penyatu masyarakat kedua-dua negara sekiranya terdapat sebarang konflik terkemudian yang timbul.


Maka, pihak Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) mengharapkan agar pendirian bersama yang dicapai oleh pertubuhan pelajar kedua-dua belah negara ini dijadikan sumber rujukan utama oleh masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda Malaysia dan Indonesia dalam berhadapan dengan permasalahan semasa dan mendatang yang timbul. Pihak Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) bersedia untuk meneruskan wacana perbincangan yang menghubungkan generasi muda kedua-dua negara sebagai pentas untuk mencari titik pertemuan dan persamaan di antara kedua-dua belah pihak.

Lima Rukun Permuafakatan dan pendirian bersama ini telah dipersetujui dan ditandatangani pada 11hb September 2009 bersamaan dengan 20 Ramadhan 1430H oleh:

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Nashrullah Al-Ghifary
Ketua Umum,
Pelajar Islam Indonesia (PII)


Abu Qassim Nor Azmi

Perwakilan,

Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT)

Naib Presiden Antarabangsa PKPIM

Sekreteriat PKPIM Pusat
Lot 2965, Jalan Kampung Tengah 7,
Kampung Tengah, Batu 6 1/2, Jalan Gombak,

53100 Kuala Lumpur, MALAYSIA

Tel (P) : +603-6184 2286
Tel (HP): +6013-530 3221

www.pkpim.net

Pengurus Besar Pelajar Islam Indonesia (PII)

Sekretariat: JI. Menteng Raya,

No.58 Jakarta 10340, Indonesia

Tel/Faks : (021) 3153572

www.pelajar-islam.or.id

“Swapping Malaysian” Cetus Konflik Identiti

Perdamaian harus mendahului persengketaan. Pemuafakatan nurani Malaysia-Indonesia teras pengukuhan perpaduan dan keharmonian rakyat di Kepulauan Nusantara. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kesejahteraan Asean akan turut terjejas jika kedua-dua negara ini terus berkonflik.

Kami menyelar tindakan melulu segelintir pihak yang terlalu beremosi sehingga sanggup mengenepikan aspek kemanusiaan dan menggadai nilai kekeluargaan yang telah sekian lama dipertahankan.

Kami mengkritik tindakan “Swapping Malaysian” dan pencerobohan ke atas Kedutaan Malaysia di Indonesia sebagai tidak bertanggungjawab dan melampaui batas norma dan citra kebudayaan rumpun Melayu yang terkenal dengan adab dan budi pekerti yang tinggi. Tragedi ini secara langsung mencetuskan konflik identiti kemelayuan unggul yang turut dikongsi bersama Malaysia-Indonesia.

Kami juga mengutuk sekeras-keranya pihak yang terus-terusan menyuntik api kemarahan rakyat dan memperjudikan isu ini demi kepentingan peribadi dan survival politik mereka. Menyemarakkan isu ini sebagai menutupi kelemahan sendiri adalah tidakan yang tidak bermaruah dan menghinakan.

Selain itu, kami menyeru agar Kerajaan Malaysia untuk tidak lepas tangan dan menuding jari kepada pihak ketiga. Sewajarnya, pihak Kementerian Pelancongan turut bertanggungjwab dengan apa yang telah terjadi. Sikap “membangau” pihak kementerian akan hanya mengeruhkan lagi keadaan.

Namun, kami tetap memuji ketegasan pemimpinan kedua-dua negara berhubung isu ini. Peristiwa yang berlaku menyerlahkan kematangan dan wawasan kedua-dua pemimpin untuk melihat isu ini dari konteks yang lebih luas.

Tragedi hitam “Ganyang Malaysia” ekoran isu pembentukan Malaysia pada tahun 1963 yang turut melibatkan penentangan bersenjata pihak tentera mungkin telah dihadam dengan baik oleh pemimpin tertinggi kedua-dua negara ini. Konflik yang berpanjangan selama tiga tahun tersebut yang berakhir secara rasminya pada Ogos 11, 1966 telah meninggalkan kesan yang cukup besar terhadap citra politik kedua-dua negara.

Dua episod yang hampir sama, tetapi memaparkan perbezaan watak yang cukup ketara. Perwatakan hikmah dan kebijaksanaan Najib dan SBY dengan keangkuhan, egoisme dan perangai kebudak-budakkan pemimpin Malaysia-Indonesia pada ketika itu.

Di samping itu, kami menghargai kecekalan penuntut Malaysia yang masih bersemangat untuk membantu mangsa gempa walau dihambat kritikan dan tohmah. Pengorbanan mereka seharusnya membuka mata segelintir rakyat Indonesia yang teralpa seketika dari menjadi insan yang bermartabat.

Sesuatu konflik tidak akan dapat diselesaikan sekiranya kita masih lagi bersikap egoistik dan hanya mementingkan diri sendiri. Selaras dengan hadis Nabi (saw) yang bermaksud, “tiga faktor yang seringkali mencetuskan pelbagai krisis dan malapetaka iaitu, sifat bakhil yang menguasai diri, hawa nafsu yang tidak terkawal, dan sifat kagum, angkuh, dan degil dengan pendapat sendiri” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad).

Justeru, sikap berlapang dada, berjiwa besar, berwawasan dan berobjektif dalam menangani isu adalah kunci kepada pintu keluar konflik yang terjadi. Semua pihak diseru mencintai kedamaian, dan menjauhi persengketaan.

Firman Allah (SWT) dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang bermaksud, “Dan berpengan teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan jangalah kamu becerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersepadu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.

ABU QASSIM NOR AZMI

Naib Presiden Antarabangsa PKPIM

Sunday, September 6, 2009

Warkah Buat eWI

Perjuangan tidak ada penghujungnya, tidak ada titik pemisah, tidak ada ungkapan beralah, cuma "MATI" menutup dakwah, walau ada yang terus diibadah.

Meskipun sesah dan resah, tertimpa mehnah dan musibah, namun berlapanglah dengan kalimah, bermohon dengan sembah, moga dimaghfirah, moga diberi rahmah. eWi, kau kan bisa kembali tabah.

eWi kau juga merasa, juga memikir,juga merancang, juga menggerak, juga memimpin.., juga bisa,& juga bisa. eWi,kau penyeri jemaah pelengkap rantai dakwah.

eWi, bermasa'ku' kita mengolah, langkah demi langkah, menuju lestari da'wah, biar tak bisa kita tampak merasa, jernih air di muara, dengan izin yang maha Esa.

eWi, Kau, 'aku' dan dia, kita kembali berserah, demi Allah.

Ibn Azmi

Nota*

1. 'aku' merujuk kami yang ramai

2. 'eWi' merujuk mereka yang merasa yang kami juga rasa dan berasa.

3. Dinukil kerna rasa, ada rasa, dan merasa.

Thursday, September 3, 2009

Kuliyah Maghrib “Induksi PKPIM Sesi 2009/2010, Makna Kemerdekaan dan Kisah-kisah Al-Quran


Dr Abdul Aziz Izzat (1999), Al-Khayyat, “Kemerdekaan bermakna kebebasan manusia dari perhambaan manusia lain, atau kebebasan bangsa dari perbudakan bangsa lain.”

Al-Imam al-Qusyairi, “Apabila seseorang itu bebas dari perhambaan kepada makhluk, terlepas dari kongkongan mana-mana entiti…”

Ibnu ‘Arabi, “Perhambaan yang jitu dan sebenarnya (ialah) perhambaan kepada Allah (semata-mata), iaitu apabila seseorang itu tidak menjadi hamba kepada selain Allah. Sebaliknya, menjadi hamba Allah yang menciptanya untuk tujuan penyembahan kepadaNya; di samping menyempurnakan tuntutan penciptaannya. Bak kata orang: hamba Allah yang terbaik ialah yang segera pulang ke hadhratNya. Dengan lain-lain perkataan, kembali kepada ubudiah yang ia dicipta untuk itu. Ini adalah kerana pada hakikatnya dia adalah makhluk yang dicipta dalam kaadaan memerlukan kepada segala sesuatu yang wujud (di alam ini).”

Puisi: Erti Kemerdekaan

“Tidak bebas dengan Tuhan itulah kebebasan
Ingin bebas dari Tuhan inilah keterbatasan…

“Manusia ingin merdeka dan bebas, padahal kuasa sangat terbatas
Walaupun dengan Tuhan tidak bebas, kuasa Tuhan tidak terbatas…”

“Merdeka dari dunia dan manusia itulah hakikat kemerdekaan
Merdeka dari Tuhan itulah hakikatnya tidak ada kebebasan…”

Nabi Ibrahim a.s

Perjalanan spiritual mencari Tuhan dari kecelaruan orientasi kehidupan yang subur dalam masyarakatnya. Penyembahan berhala dan kini penyembahan kepada “materialism” yang menjurus kepada aktiviti rasuah dan pecah amanah yang menjatuhkan harkat-marabat manusia.

(Al-an’am:76-79)

“Maka ketika dia berada pada waktu malam yang gelap, dia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu terbenam, dia berkata pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang".

Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat".

Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: Wahai kaumku! Sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).

Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain).”

Ungkapan Rub’ii bin Amir kepada Rustum, Panglima Perang Rom, “Allah mengutuskan kami untuk kami mengeluarkan manusia daripada perhambaan kepada manusia kepada perhambaan kepada Tuhan Pencipta manusia, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam, daripada kesempitan hidup di dunia kepada keluasan hidup di akhirat.”

Nabi Musa a.s.

Memimpin kebangkitan rakyat menolak penindasan dan kezaliman pemerintahan Firaun yang melambangi masyarakat yang rakus, tamak, dan angkuh.

(al-baqarah:49)

Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.

(al-‘araf:127)

Dan berkatalah pula ketua-ketua dari kaum Firaun: "Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu?" Firaun menjawab: "Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka, dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka".

2 Jenis Hegemony yang berlaku hari ini yang perlu dimerdekakan;

(1) Hegemony dalaman-Pemerintah yang rakus, tamak dan angkuh yang digambarkan oleh sifat dan perwatakan “Firaun”. Menindas lelaki Bani Israil, dan menistakan kaum hawanya.

(2) Hegemony luaran-pengaruh dan tekanan asing sama ada dari segi politik mahupun ekonomi.

Abu A`lla al-Maududi , “Telah pergi orang Inggeris yang berkulit merah namun masih kekal Inggeris berkulit sawo matang”.

Nabi Muhammad s.a.w

(1) Kecelaruan kehidupan-penyembahan berhala

(al-maidah:3)

“…Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang dia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah dia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”


(al-jumuah:2)


Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.


(2) Penindasan ekonomi-riba dan ‘monopoli’.

Tidak ada keraguan tentang pengharaman riba kerana ia jelas membawa keburukan dan penindasan kepada mereka yang terlibat. Mereka yang kaya terus kaya manakala yang miskin pula akan terus merana. Pengharaman riba jelas bertujuan melindungi masyarakat khususnya golongan yang lemah dan miskin dari terus ditindas oleh golongan kaya dan hartawan. Juga jelas di sini adalah pengharaman riba adalah kerana keburukan dan kesan dari sudut ekonominya terhadap mereka yang terlibat khususnya mereka yang amat-amat memerlukan pertolongan dari sudut kewangan.

(ali-‘imran:130)

“Wahai orang-orang yang beriman! Jangalah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya.”

(Drs. Izomiddin, M.A, Revitalisasi Perdagangan Islam Dalam Pengembangan Sektor Riil)

Walau bagaimanapun dalam konsep ekonomi Islam, monopoli, duopoli, ataupun oligopoli (dalam erti kata hanya ada satu penjual, dua penjual, atau bayak penjual) tidak dilarang dalam Islam selama mereka tidak mengambil keuntungan di atas keuntungan normal.


(al-baqarah:2)


“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhoyong-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan "bahawa sesungguhnya berjual beli (berniaga) itu sama dengan riba". Allah membolehkan (menghalalkan) jual beli dan melarang (mengharamkan) riba…”


Kegagalan yang paling terasa dari modernisasi yang merupakan akibat langsung dari era globalisasi adalah dalam sektor ekonomi yang semakin hilang nilai. Max Weber antara lain mengatakan bahawa 1) tidak mungkin berkembangnya kapitalisme tanpa adanya kelompok usahawan dan perniaga, 2) tidak mungkin lahir para usahawan dan perniaga tanpa satu dasar moral (moral charter), dan 3) tidak ada dasar moral tanpa keyakinan keagamaan (religious premises).

Justeru, kemerdekaan ekonomi yang di bawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. juga dapat kita fahami dengan pengenalan model ekonomi baru yang sangat menekankan aspek pembangunan ekonomi yang berkeadilan selari dengan tuntutan dan ajaran Islam yang berperanan sebagai religious premises.

Oleh itu, dalam krisis semasa yang menuntut pembaharuan, pandangan Baqir Sadr agar pemurnian hubungan falsafah ekonomi yang tidak bebas nilai dan faham keagamaan (merujuk kepada Islam) dengan sains ekonomi yang lebih praktikal akan dapat disuburkan.

(3) Kezaliman sosial-wanita dan bangsa arab badwi.

(an-nisa’:58)

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

(4) Perpaduan

Merdekakan masyarakat kita dari perpecahan dan permusuhan. Sabda Nabi SAW:

Dari Amir bin Saad dari bapanya r.a katanya:“Pada suatu hari Rasululah s.a.w datang dari daerah perbukitan. Ketika baginda sampai di Masjid Bani Mu’awiyah baginda masuk ke masjid tersebut lalu solat dua rakaat. Kami pun solat bersama-sama dengan baginda.Baginda berdoa kepada Tuhan panjang sekali. Setelah berdoa baginda berpaling kepada kami lalu bersabda:”Aku memohon kepada Tuhan tiga perkara. Dia memperkenankan dua perkara dan menolak satu perkara. Aku memohon kepada Tuhan supaya jangan membinasakan umatku dengan musim susah yang panjang. Maka diperkenankan. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang melanda umat Nabi Nuh atau seperti tentera dan Raja Firaun yang ditenggelamkan di lautan), permohonanku itu diperkenankan-Nya juga. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama mereka. Permohonan ini tidak diperkenankan. “(Hadis riwayat Bukhari)

ABU QASSIM NOR AZMI

Naib Presiden PKPIM

http://syawabal-zaha.blogspot.com/

aqna_86@yahoo.com

+019-3565805