Tuesday, October 20, 2009

PKPIM Anjur "Malam Padanag Prihatin"

KENYATAAN MEDIA

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

8 OKTOBER 2009/19 SYAWAL 1430 H

NGO ANJUR “MALAM PADANG PRIHATIN”


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor (KLSCAH), Persatuan Penggiat Seni Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI), LLG Cultural Development Centre Bhd (LLG), dan Tamil Foundation akan menganjurkan “Malam Padang Prihatin” pada 11 November 2009 iaitu pada hari Rabu pukul 8.30 malam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor (KLSCAH), Kuala Lumpur.

Tujuan “Malam Padang Prihatin” ini diadakan adalah untuk mengumpul dana untuk disumbangkan kepada mangsa tragedi gempa di Padang, Indonesia. Selain itu, penganjuran malam ini juga adalah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat demi mewujudkan sebuah masyarakat yang penyayang dan prihatin.

Di samping itu, “Malam Padang Prihatin” ini juga telah mendapat sokongan beberapa pertubuhan pelbagai kaum yang turut bersama-sama membantu untuk memastikan kejayaan penganjuran malam amal tersebut.

Dalam pada itu, “Malam Padang Prihatin” yang akan dianjurkan tersebut juga akan diisi dengan beberapa pementasan menarik yang akan mengenengahkan persembahan kebudayaan pelbagai kaum seperti tarian dan nyanyian kaum, deklamasi sajak & puisi, sketsa, persembahan teater & koir dan sebagainya.

Maka, pihak PKPIM menyeru kepada semua pihak khususnya golongan mahasiswa untuk hadir menyaksikan persembahan malam tersebut beramai-ramai sebagai tanda sokongan terhadap usaha murni yang dijalankan ini. Sebagai makluman, keuntungan dari penjualan tiket yang dijual akan disalurkan terus kepada keluarga mangsa Padang, Indonesia.

Bagi yang berminat, pembelian tiket boleh dibuat menerusi Penolong Setiausaha Agung PKPIM Sdr Shahril Effendi Yunos di talian 019-5058580 atau 03-61842286. Untuk makluman semua juga, harga tiket yang ditetapkan untuk malam tersebut adalah RM10.00 sekeping.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga mengharapkan semoga kehadiran anda dapat menjayakan objektif malam amal yang akan dijalankan tersebut untuk mengumpulkan sebanyak mungkin dana untuk disalurkan kepada mangsa gempa di Padang, Indonesia di samping melahirkan sebuah masyarakat yang penyayang dan prihatin.

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Sekreteriat PKPIM Pusat
Lot 2965, Jalan Kampung Tengah 7,
Kampung Tengah, Batu 6 1/2, Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur, MALAYSIA
Tel (P) : +603-6184 2286
Tel (HP): +6013-530 3221

Nota Usrah Qiyadah PKPIM-Sektor Hadith

Hasad dan Cabaran Kontemporari

Disunting oleh : Abu Qassim Nor Azmi, Naib Presiden PKPIM

عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّـهُ قَالَ: لاَ تَبَاغَضُوا وَلاَ تَقَاطَعُوا وَلاَ تَحَاسَدُوا وَلاَ تَدَابَرُوا ، كُوْنُوا عِبَـادَ اللهِ إِخْوَانًـا.

(رَوَا هُ الْبُخَـارِى وَمُسْلِمٌ)

Dari Nabi SAW, sabdanya: Janganlah kamu saling membenci, dan janganlah kamu saling memutuskan silaturrahim, dan janganlah kamu saling berdengkian (hasad), dan janganlah kamu saling membelakang (tidak berteguran), jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara.

(H.R Bukhari dan Muslim)

SYARAH AL HADIS:

Salah satu larangan keras baginda Rasul SAW dalam hadis diatas ialah agar kita jangan saling berdengkian (hasad). Hasad adalah dosa pertama diatas muka bumi kerana sifat buruk inilah yang mendorong Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam AS. Dan sifat tercela ini jugalah yang mendorong terjadinya pembunuhan pertama diatas muka bumi antara Qabil dan Habil, dan yang mendorong Abu Jahal enggan mengakui kerasulan Nabi Muhammad SAW.

MAKNA HASAD:

Jika seseorang mendapat nikmat, maka kita yang melihat dan mengetahui keadaan itu akan berada diantara dua keadaan:

1. Jika kita benci dengan nikmat yang diperolehinya. Lalu kita menginginkan agar nikmat tersebut luput (hilang) daripadanya, sama ada agar nikmat itu berpindah kepada kita ataupun tidak. Inilah yang dinamakan dengan hasad.

2. Jika kita tidak benci terhadap nikmat yang diperolehinya dan tidak pula mengharapkan agar ia hilang daripadanya. Tetapi sebagai manusia biasa kita menginginkan agar kita juga memiliki nikmat seumpama itu. Inilah yang disebut dengan ghibtah yakni iri hati.

HUKUM HASAD:

Hukum hasad adalah haram yakni dosa, sedangkan ghibtah pula adalah dibolehkan dan terpuji. Dan barangkali inilah yang dimaksudkan oleh Nabi SAW.:

لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِى اثْنَتَيْنِ : رَجُلٍ آتَاهُ اللهُ مَـالاً فَسَلَّطَهُ عَلَى هَلَكَتِهِ فِى الْحَقِّ ،

وَرَجُلٍ آتَـاهُ اللهُ عِلْمًا فَهُوَ يَعْمَلُ بِهِ وَيُعَلِّمُهُ النَّـاسَ ( مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ)

Ertinya: Tiada hasad (yang dibolehkan) kecuali pada dua perkara, iaitu: terhadap seseorang yang Allah anugerahkan harta, lalu ia gunakan harta tersebut pada jalan kebenaran, dan terhadap seseorang yang dianugerahkan ilmu, lalu ia amalkan ilmu tersebut serta diajarkannya kepada manusia lain. (H.R Bukhari dan Muslim).

SEBAB-SEBAB HASAD:

Sungguh banyak faktor yang menyebabkan seseorang bersifat hasad (dengki), antaranya yang terpenting:

  1. 'Adaawah (permusuhan).
  2. Takabbur (sombong).
  3. Ta'azzuz (benci jika ada orang lain yang dapat mengatasinya)
  4. Bakhil (lokek).
  5. Khubthun Nafsi (busuk hati).
  6. Hubbul Jaah (gila kuasa).

BAHAYA HASAD:

Sifat hasad termasuk kedalam salah satu penyakit hati yang terbesar. Hasad bukan saja dapat membinasakan dunia seseorang, tetapi juga akhiratnya. Dan diantara bahayanya:

  • Hasad adalah sifat Iblis. Sedangkan sifat para Rasul dan Wali Allah adalah sebaliknya. Mereka akan memberi tahniah (ucap selamat) kepada orang-orang mendapat nikmat sambil mengucapkan :

بَـارَكَ اللهُ فِيْكَ
Semoga Allah memberkati engkau

  • Hasad merosak amalannya. Sabda Nabi SAW.:

إِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَـأْكُلُ النَّـارُ الْحَطَبَ
Sesungguhnya hasad memakan amal baik sebagaimana api makan kayu api. (H.R Ibnu Majah).

  • Hasad dapat merosak akidahnya, kerana setiap nikmat yang Allah swt kurniakan kepada seseorang adalah berdasarkan ketentuan taqdir yang termaktub di dalam Luh Mahfuz sejak azali. Oleh itu jika kita benci terhadap nikmat yang Allah anugerahkan kepada seseorang, itu bererti secara tidak langsung kita benci dan tidak redha dengan Takdir Allah.

HASAD, GHIBTHAH, MUNAAFASAH.

Tiga istilah diatas hampir bersamaan maknanya. Tetapi sebenarnya masing masing mempunyai makna tersendiri:

1. Hasad (Dengki): Engkau suka jika hilang nikmat dari saudaramu seagama tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarat (agama). Hukumnya adalah haram.

2. Ghibthah (Iri Hati ): Engkau menginginkan suatu nikmat seperti nikmat yang diperolehi oleh saudaramu, tetapi engkau sendiri tidak pula menginginkan agar nikmat tersebut hilang daripada saudaramu itu. Sikap ini adalah terpuji (mahmudah).

3. Munaafasah (Kompetisi): Engkau berusaha keras untuk mencapai sesuatu sebagaimana yang telah dicapai oleh rakanmu seagama, atau engkau bekerja keras kerana ingin mengatasi pencapaian saudaramu. Hanya saja sikap ini hanya diperbolehkan dalam batas batas kemampuan manusia. Oleh sebab itu kadang kadang kompetisi ini hukumnya wajib, iaitu jika berkompetisi (berlumba-lumba) menjauhi perkara maksiat dan berlumba-lumba melakukan perkara-perkara wajib. Kadang-kadang hukumnya hanya sunat, seperti berlumba-lumba meninggalkan perkara-perkara makruh atau melakukan amalan sunat. Dan kadang kadang hukumnya hanya mubah (boleh) iaitu seperti berlumba-lumba dalam perkara mubah seperti dalam bidang pertanian, perindustrian, penemuan-penemuan baru dan lain sebagainya.

HASAD YANG DIBENARKAN

Hadith Nabi SAW yang bermaksud “Tiada hasad (yakni dibenarkan berhasad), melainkan dalam dua perkara sahaja, iaitu: Seseorang yang dikurniai Allah harta yang banyak, lalu ia menaburkan harta itu dalam perkara-perkara yang hak dan benar, sehinggalah hartanya habis. Dan seseorang lagi dikurniai Allah dengan ilmu pula, lalu ia mengamalkan ilmu itu serta mengajarkannya juga kepada orang ramai.”

Dalam hal yang seperti ini, kita tidak dilarang jika berhasad demi untuk mendapat kebaikan di sisi Allah, malah adakalanya dituntut oleh syara’. Firman Allah yang bermaksud; “Berlumba-lumbalah kamu sekelian untuik mendapatkan keampunan Tuhan Mu” (al-hadid: 21)

Aspirasi hasad yang dibenarkan ini boleh diteliti menerusi faham zuhud yang sebenar.

ZUHUD ANTI-TESIS HASAD

Hadis riwayat lbnu Majah dan lain-lain dengan sanad-sanad yang baik ( Hadis ini adalah daripada riwayat Khalid ibn ‘Umar dan al-Qurasyie daripada Sufian daripada al-Thauri Abu Hazim daripada Sahl. Al-Imam Ahmad berkata berkenaan dengan Khalid : Dia adakah orang yang mungkar dalam riwayatnya, dia meriwayatkan cerita-cerita batil. Ibnu Ma‘in pula berkata dia adalah pendusta. Saleh ibn Muhammad dan Ibnu ‘Adie menghubungkannya (Khalid) sebagai orang yang mereka-reka hadis palsu. Lihat notakaki buku (Syarah Hadis 40 Nawawi) karangan al-Imam Ibnu Daqiq, Maktabah al-Turath al-Islamie, Kaherah,1987 pada takhrij hadis ini).

Daripada Abu al-‘Abbas Sahlu ibn Sa’ad al-Saa’idie r.a. beliau berkata: “Seorang lelaki telah datang menemui Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah! Tunjukkan daku suatu amalan yang apabila aku lakukannya, aku dikasihi oleh Allah dan dikasihi oleh manusia. Baginda bersabda: Zuhudlah engkau terhadap dunia, nescaya Allah kasihkan engkau dan zuhudlah terhadap apayang ada pada manusia, nescaya manusia akan mengasihimu.”

Pengajaran Hadith:

1. Zuhud terhadap dunia mempunyai banyak pengertian di kalangan ulama tasauf antaranya ialah membenci, berpaling, meninggalkan dan menjauhkan diri dari kemewahan dunia serta mengosongkan hati dari mengingati perkara dunia.

2. Zuhud terhadap apa yang dimiliki manusia, bererti menjauhkan diri dari merasa irihati terhadap apa yang dimiliki oleh manusia serta mengosongkan hati dari mengingati harta milik orang. lni bukanbererti membenci sehingga suka agar kesenangan orang lain hilang kerana itu hasad dengki yang amat dilarang.

3. Zuhud sebenar bukan bererti meninggalkan dunia atau langsung tidak berharta. Zuhud sejati ialah tidak menjadikan dunia dan kemewahan hidup sebagai matlamat hidup, walaupun kekayaannya memenuhi dunia seumpama yang terjadi pada jutawan zaman Rasulullah SAW seperti Abdul Rahman Ibn ‘Auf, kerana matlamat hidup seorang mukmin ialah Allah dan keredhaanNya, bukan benda benda selainNya.

ZUHUD DAN CABARAN HASAD KONTEMPORARI

Seperti yang telah disebutkan oleh Ibn Qayyim al-Jauzi, zuhud bagi golongan ariffin (yang lebih mengenali Allah) bermaksud kosong hati dari dunia bukan kosong tangan darinya. Bagi golongan muqarrabin zuhud adalah kosong dari segala yang di syurga dan di dunia dan semata-mata hanya Allah tujuan dan tempat akhirnya.

Justeru sebagai ahli gerakan yang seharusnya kekal relevan terhadap masyarakat, kita wajar menginsafi kedua-dua sifat ini dan sedia mengamalkannya dalam kehidupan harian kita.

Cabaran Kontemporari

1. Kecemerlangan akademik dan kepakaran dirujuk

2. Pengaruh ekonomi dan desakan kewangan

3. Populariti media dan gelombang kesedaran

4. Model tauladan dan keperibadian unggul

Implikasi Zuhud

1. Melahirkan tokoh akademik unggul di kalangan ahli PKPIM selain mampun menjadi tempat rujukan bagi bidang yang dipelajarinya. Meskipun begitu, mereka masih mampu kekal konsisten dengan disiplin harakah dan tidak sekali-kali merasa besar diri dan riak yang akhirnya mewujudkan benteng dengan ahli gerakan lain dan masyarakat umumnya.

2. Melahirkan Generasi Al-Auf, yang tidak kosong tangannya, agar dapat membantu dari aspek penjanaan kewangan gerakan dan masyarakat. Generasi Al-Auf ini diharap tidak akan sekali-kali berkira-kira khususnya kepada gerakan.

3. Melahirkan media oriented person yang senang mendampingi dan didampingi media agar pelan kesedaran yang dibawa oleh PKPIM akan dapat ditambah unsur catalyst atau faktor penyegera dan multiplication factor.

4. Melahirkan tokoh dan idola generasi muda yang menjadi fenomena kepada semua peringkat masyarakat yang sangat jelas dengan misinya untuk merakyatkan kesedaran beragama di kalangan rakyat.

Sumber

1. Dr Abdullah Yassin, Bahaya Jasad dan Cara Mengubatinya

2. Majlis Agama Islam Singapura, Khutbah Jumaat: Dengki dan Hasad (Jun 16, 2000)

3. Mustaffa Abdul Rahman, Hadith 40: Terjemahan dan Syarahnya, Hadith 31 m.343-350.

Monday, October 5, 2009

Semakan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan MARA


Makluman : Semakan Panggilan Temuduga Bagi Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (Pensyarah/Guru MARA) Boleh Dibuat Bermula 12 Oktober 2009.

http://www.mara.gov.my/home


Di sebalik Pelancaran Tabung Kemanusiaan PKPIM-Padang


Duduk dari kiri: Haidhir (YDP PPIWP), Faisal Aziz (Presiden PKPIM), Abu Qassim (Naib Presiden PKPIM)
Berdiri dari kiri: Anuar Musa (SUA PKPIM), Fahmi (Exco), Shahril (Pen SUA), Lina (Exco), Fatin(Exco)

Gambar dirakam semasa pelancaran Tabung Kemanusiaan PKPIM: Misi Padang yang telah disempurnakan oleh Presiden PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz di Sekretariat PKPIM Pusat, Gombak pada Oktober 5, 2009, bersamaan 16 Syawal1430 H.

JAG, SIS Didesak Tarik Kenyataan


Kuantan - Sebanyak 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Pahang hari ini menuntut Kumpulan Tindakan Bersama Untuk Persamaan Jantina (JAG) dan Sisters In Islam (SIS) menarik balik kenyataan mereka yang mendakwa hukuman sebat syarie adalah kejam. Dalam kenyataan bersama yang dibacakan oleh Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abdul Manan hari ini, NGO terbabit turut menuntut JAG dan SIS memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam kerana menghina hukum Islam dan mahkamah syariah yang melaksanakan perundangan syariah.

“Kami juga menuntut agar kerajaan bertindak tegas terhadap pihak yang mencabar kedudukan Islam dan perundangan syariah yang telah dijamin kedudukannya dalam Perlembagaan negara. “Penganut agama lain juga diminta tidak mencampuri dan mempertikaikan urusan agama Islam,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Pahang di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Naib Presiden PKPIM, Abu Qassim Nor Azmi, menyeru agar rakyat tenang dan tidak bertindak atas dasar emosi semat-mata. "Inilah peluang terbaik untuk kita memaparkan imej murni Islam sebenar. Hikmah harus didahulukan agar persepsi longgar masyarakat terhadap Islam akan dapat diharmonikan dengan sebaiknya."

Beliau menambah, "aspek mendidik masyarakat harus diberikan penumpuan kerana berlakunya polemik ini adalah kerana ceteknya permahahan rakyat terhadap undang-undang Islam dan sistem kehakiman syariah negara." Walaupun ada pihak yang cuba memutar-belitkan isu ini namun sekiranya rakyat sedar dan maklum, sudah pasti isu ini tidak akan menjadi separah ini.

Turut membantah adalah peguam-peguam Syarie Pahang, Jemaah Islah Malaysia Pahang, Himpunan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Haluan) Pahang, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Pahang dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Seminar on "Protection and Assistance of Civilians Affected by Complex Emergencies and Armed Conflicts"

It is our pleasure to invite three representatives from your esteemed organization to participate in a seminar jointly organized by the International Committee of the Red Cross and Islamic Outreach ABIM. The seminar on "Protection and Assistance of Civilians Affected by Complex Emergencies and Armed Conflicts"will be held on 14th October 2009, from 8.00am-4.15pm at Hotel Equatorial, Kuala Lumpur.

The objectives of the seminar include:

To enhance dialogue on humanitarian issues between representatives of Islamic organizations and the ICRC, which has substantial activities in Muslim countries;

To discuss the challenges faced by humanitarian relief workers in situations of complex emergencies and armed conflict, as well as issues of coordination and inter-agency collaboration that may come up during those situations; also, strategies that can be developed to facilitate collective coordination of organizations such situations ; and

To bring about awareness and recognition of the humanitarian needs of those affected by armed conflict and complex emergencies, and explain how international humanitarian law is one way to address those needs.

The one-day event would begin with addresses by the Chairman of Islamic Outreach ABIM as well as the Legal Advisor on the Muslim World from the ICRC, followed by the keynote address by the Guest of Honor. The seminar itself would consist of two sessions – one in the morning, and one in the afternoon; the panelists would take around twenty minutes each to make their presentations. Each panel would consist of a moderator and 3 speakers, and it would end with a question and answer session.

The speakers would comprise a small panel of prominent experts in Syariah and humanitarian law, both national and international, with the tentative line-up being Dr. Ameur Zemmali, Advisor for Islamic Affairs, ICRC, Dr. Mohd Daud Sulaiman, Malaysian Relief Agency, Dr. Mohd Hisham Mohd Kamal of IIUM and a Speaker from the National Security Council or Prime Minister's Department.

Attached please find the Draft Program of the event.

Please kindly note that the deadline for sending us your nominations is 9 October 2009 (Entrance is free).

Should you have further questions or need any clarifications, do not hesitate to contact us at 03-42569822.

We look forward to hearing from you, Wassalam.

Azril Mohd Amin
Chairman
Islamic Outreach ABIM

Gempa Padang: Respon Naib Presiden Antarabangsa PKPIM

Tabung Kemanusiaan Ummat yang telah dilancarkan oleh Presiden PKPIM petang ini akan digerakkan bersama dengan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII). Meskipun telah banyak tabung dilancarkan, baik di dalam mahupun di luar negara, dengan pelbagai tujuan dan matlamat, namun ia masih belum mencukupi.

Dengan jumlah kematian yang dijangkakan melebihi 3000 orang, ancaman penyakit pasca bencana yang semakin menular, dan kejadian gempa susulan yang tidak diduga serta masalah penghantaran bantuan bakal meruncingkan lagi keadaan di sana.


PKPIM sedar bantuan awal yang diberikan hanya terhad kepada aspek bantuan sokongan hidup khususnya kepada mangsa gempa. Justeru, tabung bersama PKPIM dan PII ini bukan sahaja akan memberi fokus kepada bentuk bantuan awal bencana malah akan lebih digunakan bagi menyokong program pembangunan semula Padang khususnya dari aspek pendidikan.

Bagi maksud tersebut, Naib Presiden Antarabangsa PKPIM, Abu Qassim Nor Azmi bersama rakan sejawat dari PII, serta Jawatankusa Khas Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT) yang turut dianggotai Singapura dan Thailand akan bermesyuarat pada selewat-lewatnya awal Disember ini bagi membincangkan rangka pelan pembangunan semula pendidikan di Padang dari perspektif pelajar.

Dalam menunggu persidangan tersebut, PKPIM dan PII telah bersetuju untuk memulakan langkah awal dengan menggerakkan kempen kesedaran di kalangan rakyat, melobi bakal-bakal penyumbang, dan membincang dan mengumpulkan maklumat-maklumat penting untuk menyediakan draf awal perancangan pembangunan pendidikan tersebut yang selari dengan kemampuan kami.

Sedar bahawa ia memerlukan kos yang besar dan mencakupi pelbagai bentuk birokrasi, justeru PKPIM dan PII berharap akan mendapat sokongan penuh dari pihak kerajaan kedua-dua negara dan menyeru lebih ramai penyumbang untuk bersama-sama menjayakan misi murni ini.

PKPIM percaya pelan pembangunan ini akan mampu menyokong proses pembangunan semula Padang khususnya di sekitar Pariaman yang hampir 80 peratus musnah ekoran gempa tersebut.

Akhirnya, PKPIM berharap agar semua pihak tidak putus asa untuk terus berdoa dan mengharapkan pertolongan dan sokongan dari Tuhan. Dalam keadaan genting seperti ini, selain usaha yang digerakkan, PKPIM percaya perasaan redha dengan ketentuan-Nya akan dapat memastikan kestabilan emosi di kalangan mangsa dapat dikekalkan.

ABU QASSIM NOR AZMI

Naib Presiden Antarabangsa PKPIM

+019-3565805

aqna_86@yahoo.com