Monday, June 21, 2010

Mansuh UPSR & PMR: Gesa Sistem Penilaian Baru, Rombak Silibus Pelajaran


Bayangan TPM untuk memansuhkan Peperiksaan UPSR dan PMR sebagai salah satu usaha mengholistik dan mengintegrasikan kembali pendidikan negara yang dilihat terlalu berorientasi peperiksaan harus diteliti dengan sebaiknya.

Di satu sisi, tindakan tersebut mampu mengurangkan takanan terhadap guru-guru dan para pelajar dari terus terbeban dengan peperiksaan awam tersebut.

Bebanan ini menjadi sebab utama tidak belakunya pendidikan yang efektif dan berkesan di dalam kelas ekoran kecenderungan mereka untuk hanya menumpu kepada teknik menjawab dan soalan yang berkemungkinan akan keluar dalam peperiksaan.

Justeru, ia secara tidak langsung akan memberi ruang yang lebih luas untuk proses pembelajaran yang holistik dan integral dalam satu-satu subjek yang mampu menyokong pembentukan minda kritis di kalangan para pelajar selaras dengan matlamat dan harapan kerajaan yang digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dan RMK-10 yang lalu.

Walau bagaimanapun, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) harus segera memperkenalkan sistem penilaiaan baru yang tepat dan menyeluruh bagi menggantikan sistem penilaiaan UPSR dan PMR berkenaan.

Hal ini bagi memastikan proses pembelajaran di sekolah akan dapat terus dipandu dan dipantau dengan sebaiknya. Kegagalan memperkenalkan sistem penilaian baru akan hanya membuka lebih banyak kerosakan dan kegagalan berbanding kebaikannya.

Sistem penilaian baru harus setara dengan matlamat dan halatuju pendidikan negara dan ia menuntut set silibus pelajaran yang juga holistik dan integral sifatnya.

Bagi memperkukuh usaha murni tersebut, penilaian semula silibus pelajaran harus juga digerakkan agar trasnsformasi pendidikan sebenar dapat direlisasikan dengan jayanya.

Semua elemen yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Negara dan keperluan semasa selaras dengan perubahan zaman harus diterjemahkan secara langsung dalam silibus pendidikan kebangsaan agar lebih kukuh dan berdaya saing.

Dengan matlamat yang murni, silibus yang berkesan dan menyeluruh, dan penilaian yang benar-benar tepat, maka proses membangun insan GLOKAL seperti yang diimpikan oleh PM bagai memacu Wawasan 2020 akan menjadi kenyataan.

ABU QASSIM NOR AZMI
Naib Presiden PKPIM

No comments:

Post a Comment