Thursday, July 8, 2010

Transformasi Cara Fikir Lahirkan Siswa Berwawasan

Pendaftaran kira-kira 105 377 orang pelajar ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara bagi sesi kemasukan 2010/2011 sebagai bukti keperihatinan dan keseriusan kerajaan terhadap usaha memastikan peluang pendidikan yang lebih baik kepada seluruh rakyat Malaysia dapat direalisasikan.

Meskipun dilingkari perlbagai isu terkini antaranya, kebimbangan terhadap komposisi pelajar lelaki yang semakin mengecil, polisi baru pengagihan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan cadangan pinjaman boleh ubah PTPTN kepada graduan yang cemerlang antara yang menghangatkan sesi pendaftaran pada kali ini.

Walau bagaimanapun, hasrat dan Bidang Keberhasilan Utama (KRA) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mensasarkan sekurang-kurangnya dua buah universiti tempatan tersenarai di kalangan 50 universiti terbaik dunia sebelum tahun 2020, selain peningkatan jumlah universiti berstatus Universiti Penyelididkan tidak harus dikesampingkan dan tanggungjawab ini harus digalas bukan sahaja kepada tenaga pengajar, staf pengurusan malah para pelajar, mahasiswa dan mahasiswi.

Justeru, timbul persoalan, sejauh manakah kemampuan pihak universiti khususnya sektor akademik dan pembangunan pelajar mampu merialisasikan hasrat murni tersebut? Sudah tersemaikah budaya intelektual khususnya di kalangan mahasiswa di universiti? Kehidupan bagaimanakah yang seharusnya dilalui oleh para pelajar bagai memastikan impian ini tidak sekadar angan-angan kosong?

Maka transformasi terhadap cara berfikir, gaya hidup dan latar budaya di universiti harus digerakkan. Dalam keterbatasan waktu, pihak pentadbiran, tenaga pengajar malah para pelajar harus sedia berkorban dan iltizam dalam membuat perubahan tersebut.

Ledakan informasi seperti yang diungkapkan oleh Alan Bloom dan cabaran gelombang baru yang disifatkan oleh Alvin Toffler dalam bukunya Third Wave sebagai cabaran gelombang maklumat akan terus menghimpit ruang selesa mahasiswa. Gelombang baru ini megkehendaki bukan sahaja ketepatan dan kejituan malah kepantasan. Segalanya menjadi begitu pantas. Hal ini memerlukan daya tahan yang tinggi dan fokus yang berterusan di kalangan mahasiswa. Sedetik kelekaan bakal membawa kepada kekecewaan.

Survival di kampus juga tidak terhad kepada indeks prestasi kecemerlangan akademik semata-mata. Tatacara kehidupan, nilai moral dan adap sopan turut memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya. Statistik menunjukkan faktor utama yang menyumbang kepada kegagalan pelajar di universiti adalah disebabkan oleh keterlibatan mereka dengan aktiviti-aktiviti super sosial yang menjangkaui batas moral, agama dan budaya ketimuran.

Titah Raja Muda Perak satu ketika dahulu seharusnya diambil iktibar agar penumpuan melampau terhadap kecemerlangan akacemik dapat diperbetulkan kepada penilaian yang lebih berobjektif dan menyeluruh. Oleh hal yang demikian, cabaran pendidikan tidak seharusnya terlalu dirigidkan kepada indeks skor “A” tetapi yang perlu dipertimbanglkan secara serius adalah sejauh mana input yang diperoleh di dalam mahupun di luar dewan kuliah dapat difahami, dijiwai dan seterusnya diimplimentasi dalam kehidupan seharian.

Menerusi amalan budaya ilmu yang sebenar akan mampu melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Inilah cita-cita dan harapan sebenar kerajaan terhadap seluruh warga pelajar seperti mana yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara,“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayan dan kepatuhan kepada Tuhan."

Matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertangungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteran diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Prof Muhamad Abu Bakar dalam bukunya Mahasiswa Menggugat menyatakan bahawa mahasiswa terikat dengan collective responsibility iaitu tanggungjwab terhadap kecemerlangan akademik dan kepakaran dalam sesuatu bidang yang akhirnya mampu menggerakkan usaha mensejahterakan kehidupan masyarakat umum.

Mahasiswa harus sedar bahawa tugas dan tanggingjawab mensejahterakan masyarakat dan memakmurkan negara ini bukan suatu tugas yang mudah tetapi tidak mustahil untuk dilaksanakan. Oleh itu, mahasiswa perlu bersatu hati, berpadu tenaga untuk merealisasikannya. John C.Maxwell menegaskan bahawa sesuatu tugasan yang dilaksanakan secara berkumpulan akan mampu melahirkan sumber kekuatan tambahan seterusnya menghasilkan impak yang maksimum.

Oleh hal yang demikian, para mahasiswa digalak menceburkan diri dalam persatuan-persatuan pelajar yang berdaftar di universiti selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong aspirasi berbudi dan berbakti kepada masyarakat seperti yang disarankan oleh YB Dato' Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Kesatuan dan kesepaduan di kalangan mahasiswa perlu didukung oleh gagasan idea-idea besar bagi mempastikan tidak berlakunya kelesuan di pertengahan jalan seperti yang sering dikaitkan dengan gerakan mahasiswa hari ini. Kepentingan gagasan idea ini turut ditekankan oleh Malek Ben Nabi sebagai the guiding idea atau idea penggerak.

Kelesuan mahasiswa menggagas idea besar terjadi sekiranya mahasiswa masih terkongkong dalam lingkaran kehidupan tiga “K” iaitu kuliah, kafe dan kolej kediaman semata-mata yang akhirnya menjerat mereka terhadap budaya mati rasa, jiwa santai. Justeru, mahasiswa perlu keluar menjangkaui tembok universiti untuk menikmati dan merasai kehidupan sebenar masyarakat.

Ingatlah, pemimpin yang sejati tidak hanya lahir dari dewan-dewan kuliah tetapi juga lahir dari kancah permasalahan rakyat. Ungkapan Mantan Perdana Menteri Indonesia ini jelas mengingatkan warga mahasiswa kepada tugas dan tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar universiti disamping tidak melupakan peranan mereka terhadap masyarakat.

Setelah memahami dengan jelas keadaan realiti masyarakat seharusnya mahasiswa akan terus cekal dan tabah serta lebih bersungguh dalam menempa kejayaan demi kejayaan. Pesanan Ungku Aziz, “belajar sambil mencabar” harus tertanam dalam jiwa mahasiswa. Jiwa adventures yang menggilai cabaran adalah realiti kehidupan anak muda.

Berbekalkan sebab yang kukuh yang lahir dari pemahaman terhadap kehidupan masyarakat dan ilmu yang mampu menundukkan hati agar kusyu’ serta kemampuan akal agar lebih rasional dan berhikmah maka akan lahirlah pemimpin unggul yang berwawasan dan berdaya saing selaras dengan hasrat dan impian negara. Impian kita semalam adalah realiti pada hari ini dan impian kita hari ini adalah kenyataan pada hari esok.

ABU QASSIM NOR AZMI

Naib Presiden PKPIM

Berita Harian, m/s 37, Jumaat, 9 Julai 2010


No comments:

Post a Comment