Saturday, July 3, 2010

SAB dan SPPK: Menyokong Teras RMK-10

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik kesediaan YAB Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Pelajaran Malaysa (KPM) untuk menganjurkan persidangan meja bulat bagi membincang dan membahaskan isu-isu berkaitan dengan cadangan pemansuhan peperiksaan pusat UPSR dan PMR.

PKPIM percaya dengan kemampuan KPM dalam mengendalikan persidangan tersebut berdasarkan pengalaman lepas menguruskan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sehingga membawa kepada pengumuman dasar baru, Memartabat Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang bakal dilaksanakan pada tahun hadapan.

PKPIM komited untuk bersama-sama menjayakan persidangan tersebut dengan mengambil pertimbangan bahawa sektor pendidikan merupakan sektor terpenting dalam melahirkan generasi muda yang menjadi nadi kejayaan negara.

Dalam pada itu, PKPIM secara dasarnya mengalu-alukan cadangan pelaksanaan Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) sebagai alternatif kepada perlaksanaan suatu pentaksiran yang lebih holistik dan berterusan seperti dalam maklum balas Unit Komunikasi, KPM bertarikh 29 Jun yang lalu.

Oleh hal yang demikian, PKPIM ingin membawa perhatian semua pihak terhadap pengumuman awal oleh YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran pada April 2009 berhubung pengenalan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK).

Pengenalan SPPK adalah bertujuan untuk mengurangkan penekanan yang berlebihan kepada peperiksaan awam dan memberi penumpuan yang lebih serius kepada pembinaan modal insan cemerlang di kalangan para pelajar baik dari segi akademik mahupun sahsiah.

SPPK dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan dalam mempertingkat kualiti pembelajaran di sekolah bagi menyokong proses merealisasikan teras kedua RMK-10 yang telah diumumkan oleh PM iaitu meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk “Minda Kelas Pertama”.

Aspirasi murni tersebut diterjemahkan menerusi Bidang Keberhasilan Utama (KRA) yang menjanjikan produk pelajar yang mempunyai daya kreativiti dan inovasi yang tinggi, kemahiran yang bersesuaian, bersikap positif dan beretika.

Justeru, antara strategi yang diguna pakai bagai mencapai maksud tersebut adalah menerusi pengenalan sistem penilaian berasaskan sekolah yang disokong oleh peningkatan kualiti dan kemahiran perguruan.

Jika SPPK dijadikan panduannya, maka 60 peratus dari jumlah keseluruhan pentaksiran pelajar tahun enam adalah dari pihak sekolah dan selebihnya dari peperiksaan dan pentaksiran pusat. Manakala bagi pelajar tingkatan tiga, pihak sekolah bertanggungjawab mentaksir 50 peratus dari keseluruhan pencapaian tersebut.

Dengan peratusan yang begitu besar diberikan kepada pihak sekolah, PKPIM menggariskan tiga perkara penting untuk diambil perhatian.

Pertama, kemahiran dan integriti serta komitmen guru-guru dan pihak sekolah. Hal ini bagi menjawab kebimbangan berlakunya ketidaktelusan dalam pemberian markah yang bakal menggagalkan usaha murni ini.

Guru-guru wajar untuk lebih berobjektif dalam membuat penilaian agar tidak menzalimi bukan sahaja pelajar lain di sekolah mereka, malah ratusan ribu lagi di lain-lain sekolah. Komitmen dan kesungguhan guru-guru juga ditagih dan berharap ia tidak dilaksanakan sekadar melepaskan batuk ditangga.

Kedua, transformasi minda ibu bapa agar tidak lagi terpenjara dengan corak penilaian lama. Pihak ibu bapa digesa agar tidak memberikan tekanan langsung kepada guru-guru yang bertanggungjawab membuat penilaian. Mereka disaran untuk turut membantu mewujudkan suasana belajar yang lebih berkesan bagi anak-anak mereka di rumah.

Ketiga, mempercepat usaha penyediaan kemudahan dan infrastruktur belajar yang kondusif khususnya di kawasan pendalaman. Hal ini dapat meningkatkan motivasi belajar di kalangan para pelajar serta keghairahan guru-guru untuk berbakti mendidik anak bangsa.

Pihak kerajaan diseru agar lebih berani untuk membuat pelaburan besar dalam sektor pendidikan negara meskipun telah berbilion dibelanjakan untuk maksud tersebut. Lyndon B. Johnson, Mantan Presiden Amerika Syarikat ke-36, dalam mencorak “The Great Society” telah memberikan penekanan yang cukup serius dalam pembangunan sektor pendidikan. Skim “Perawatan Johnson” inilah yang telah menjadikan Amerika Syarikat pada hari ini begitu maju dan disegani ramai.

Negarawan Tun Dr Mahathir menggagas Wawasan 2020 dengan kebijaksanaan dan keberanian. Tidak akan tercapai wawasan tersebut tanpa perubahan yang signifikan dalam masyarakat. Oleh itu, semua pihak harus berani untuk berubah; mengubah paradigma berfikir, budaya bekerja dan sistem yang menyokong pemurnian pembangunan modal insan keseluruhannya.

ABU QASSIM NOR AZMI

Naib Presiden PKPIM

No comments:

Post a Comment