Tuesday, October 20, 2009

Nota Usrah Qiyadah PKPIM-Sektor Hadith

Hasad dan Cabaran Kontemporari

Disunting oleh : Abu Qassim Nor Azmi, Naib Presiden PKPIM

عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّـهُ قَالَ: لاَ تَبَاغَضُوا وَلاَ تَقَاطَعُوا وَلاَ تَحَاسَدُوا وَلاَ تَدَابَرُوا ، كُوْنُوا عِبَـادَ اللهِ إِخْوَانًـا.

(رَوَا هُ الْبُخَـارِى وَمُسْلِمٌ)

Dari Nabi SAW, sabdanya: Janganlah kamu saling membenci, dan janganlah kamu saling memutuskan silaturrahim, dan janganlah kamu saling berdengkian (hasad), dan janganlah kamu saling membelakang (tidak berteguran), jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara.

(H.R Bukhari dan Muslim)

SYARAH AL HADIS:

Salah satu larangan keras baginda Rasul SAW dalam hadis diatas ialah agar kita jangan saling berdengkian (hasad). Hasad adalah dosa pertama diatas muka bumi kerana sifat buruk inilah yang mendorong Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam AS. Dan sifat tercela ini jugalah yang mendorong terjadinya pembunuhan pertama diatas muka bumi antara Qabil dan Habil, dan yang mendorong Abu Jahal enggan mengakui kerasulan Nabi Muhammad SAW.

MAKNA HASAD:

Jika seseorang mendapat nikmat, maka kita yang melihat dan mengetahui keadaan itu akan berada diantara dua keadaan:

1. Jika kita benci dengan nikmat yang diperolehinya. Lalu kita menginginkan agar nikmat tersebut luput (hilang) daripadanya, sama ada agar nikmat itu berpindah kepada kita ataupun tidak. Inilah yang dinamakan dengan hasad.

2. Jika kita tidak benci terhadap nikmat yang diperolehinya dan tidak pula mengharapkan agar ia hilang daripadanya. Tetapi sebagai manusia biasa kita menginginkan agar kita juga memiliki nikmat seumpama itu. Inilah yang disebut dengan ghibtah yakni iri hati.

HUKUM HASAD:

Hukum hasad adalah haram yakni dosa, sedangkan ghibtah pula adalah dibolehkan dan terpuji. Dan barangkali inilah yang dimaksudkan oleh Nabi SAW.:

لاَ حَسَدَ إِلاَّ فِى اثْنَتَيْنِ : رَجُلٍ آتَاهُ اللهُ مَـالاً فَسَلَّطَهُ عَلَى هَلَكَتِهِ فِى الْحَقِّ ،

وَرَجُلٍ آتَـاهُ اللهُ عِلْمًا فَهُوَ يَعْمَلُ بِهِ وَيُعَلِّمُهُ النَّـاسَ ( مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ)

Ertinya: Tiada hasad (yang dibolehkan) kecuali pada dua perkara, iaitu: terhadap seseorang yang Allah anugerahkan harta, lalu ia gunakan harta tersebut pada jalan kebenaran, dan terhadap seseorang yang dianugerahkan ilmu, lalu ia amalkan ilmu tersebut serta diajarkannya kepada manusia lain. (H.R Bukhari dan Muslim).

SEBAB-SEBAB HASAD:

Sungguh banyak faktor yang menyebabkan seseorang bersifat hasad (dengki), antaranya yang terpenting:

  1. 'Adaawah (permusuhan).
  2. Takabbur (sombong).
  3. Ta'azzuz (benci jika ada orang lain yang dapat mengatasinya)
  4. Bakhil (lokek).
  5. Khubthun Nafsi (busuk hati).
  6. Hubbul Jaah (gila kuasa).

BAHAYA HASAD:

Sifat hasad termasuk kedalam salah satu penyakit hati yang terbesar. Hasad bukan saja dapat membinasakan dunia seseorang, tetapi juga akhiratnya. Dan diantara bahayanya:

  • Hasad adalah sifat Iblis. Sedangkan sifat para Rasul dan Wali Allah adalah sebaliknya. Mereka akan memberi tahniah (ucap selamat) kepada orang-orang mendapat nikmat sambil mengucapkan :

بَـارَكَ اللهُ فِيْكَ
Semoga Allah memberkati engkau

  • Hasad merosak amalannya. Sabda Nabi SAW.:

إِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَـأْكُلُ النَّـارُ الْحَطَبَ
Sesungguhnya hasad memakan amal baik sebagaimana api makan kayu api. (H.R Ibnu Majah).

  • Hasad dapat merosak akidahnya, kerana setiap nikmat yang Allah swt kurniakan kepada seseorang adalah berdasarkan ketentuan taqdir yang termaktub di dalam Luh Mahfuz sejak azali. Oleh itu jika kita benci terhadap nikmat yang Allah anugerahkan kepada seseorang, itu bererti secara tidak langsung kita benci dan tidak redha dengan Takdir Allah.

HASAD, GHIBTHAH, MUNAAFASAH.

Tiga istilah diatas hampir bersamaan maknanya. Tetapi sebenarnya masing masing mempunyai makna tersendiri:

1. Hasad (Dengki): Engkau suka jika hilang nikmat dari saudaramu seagama tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarat (agama). Hukumnya adalah haram.

2. Ghibthah (Iri Hati ): Engkau menginginkan suatu nikmat seperti nikmat yang diperolehi oleh saudaramu, tetapi engkau sendiri tidak pula menginginkan agar nikmat tersebut hilang daripada saudaramu itu. Sikap ini adalah terpuji (mahmudah).

3. Munaafasah (Kompetisi): Engkau berusaha keras untuk mencapai sesuatu sebagaimana yang telah dicapai oleh rakanmu seagama, atau engkau bekerja keras kerana ingin mengatasi pencapaian saudaramu. Hanya saja sikap ini hanya diperbolehkan dalam batas batas kemampuan manusia. Oleh sebab itu kadang kadang kompetisi ini hukumnya wajib, iaitu jika berkompetisi (berlumba-lumba) menjauhi perkara maksiat dan berlumba-lumba melakukan perkara-perkara wajib. Kadang-kadang hukumnya hanya sunat, seperti berlumba-lumba meninggalkan perkara-perkara makruh atau melakukan amalan sunat. Dan kadang kadang hukumnya hanya mubah (boleh) iaitu seperti berlumba-lumba dalam perkara mubah seperti dalam bidang pertanian, perindustrian, penemuan-penemuan baru dan lain sebagainya.

HASAD YANG DIBENARKAN

Hadith Nabi SAW yang bermaksud “Tiada hasad (yakni dibenarkan berhasad), melainkan dalam dua perkara sahaja, iaitu: Seseorang yang dikurniai Allah harta yang banyak, lalu ia menaburkan harta itu dalam perkara-perkara yang hak dan benar, sehinggalah hartanya habis. Dan seseorang lagi dikurniai Allah dengan ilmu pula, lalu ia mengamalkan ilmu itu serta mengajarkannya juga kepada orang ramai.”

Dalam hal yang seperti ini, kita tidak dilarang jika berhasad demi untuk mendapat kebaikan di sisi Allah, malah adakalanya dituntut oleh syara’. Firman Allah yang bermaksud; “Berlumba-lumbalah kamu sekelian untuik mendapatkan keampunan Tuhan Mu” (al-hadid: 21)

Aspirasi hasad yang dibenarkan ini boleh diteliti menerusi faham zuhud yang sebenar.

ZUHUD ANTI-TESIS HASAD

Hadis riwayat lbnu Majah dan lain-lain dengan sanad-sanad yang baik ( Hadis ini adalah daripada riwayat Khalid ibn ‘Umar dan al-Qurasyie daripada Sufian daripada al-Thauri Abu Hazim daripada Sahl. Al-Imam Ahmad berkata berkenaan dengan Khalid : Dia adakah orang yang mungkar dalam riwayatnya, dia meriwayatkan cerita-cerita batil. Ibnu Ma‘in pula berkata dia adalah pendusta. Saleh ibn Muhammad dan Ibnu ‘Adie menghubungkannya (Khalid) sebagai orang yang mereka-reka hadis palsu. Lihat notakaki buku (Syarah Hadis 40 Nawawi) karangan al-Imam Ibnu Daqiq, Maktabah al-Turath al-Islamie, Kaherah,1987 pada takhrij hadis ini).

Daripada Abu al-‘Abbas Sahlu ibn Sa’ad al-Saa’idie r.a. beliau berkata: “Seorang lelaki telah datang menemui Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah! Tunjukkan daku suatu amalan yang apabila aku lakukannya, aku dikasihi oleh Allah dan dikasihi oleh manusia. Baginda bersabda: Zuhudlah engkau terhadap dunia, nescaya Allah kasihkan engkau dan zuhudlah terhadap apayang ada pada manusia, nescaya manusia akan mengasihimu.”

Pengajaran Hadith:

1. Zuhud terhadap dunia mempunyai banyak pengertian di kalangan ulama tasauf antaranya ialah membenci, berpaling, meninggalkan dan menjauhkan diri dari kemewahan dunia serta mengosongkan hati dari mengingati perkara dunia.

2. Zuhud terhadap apa yang dimiliki manusia, bererti menjauhkan diri dari merasa irihati terhadap apa yang dimiliki oleh manusia serta mengosongkan hati dari mengingati harta milik orang. lni bukanbererti membenci sehingga suka agar kesenangan orang lain hilang kerana itu hasad dengki yang amat dilarang.

3. Zuhud sebenar bukan bererti meninggalkan dunia atau langsung tidak berharta. Zuhud sejati ialah tidak menjadikan dunia dan kemewahan hidup sebagai matlamat hidup, walaupun kekayaannya memenuhi dunia seumpama yang terjadi pada jutawan zaman Rasulullah SAW seperti Abdul Rahman Ibn ‘Auf, kerana matlamat hidup seorang mukmin ialah Allah dan keredhaanNya, bukan benda benda selainNya.

ZUHUD DAN CABARAN HASAD KONTEMPORARI

Seperti yang telah disebutkan oleh Ibn Qayyim al-Jauzi, zuhud bagi golongan ariffin (yang lebih mengenali Allah) bermaksud kosong hati dari dunia bukan kosong tangan darinya. Bagi golongan muqarrabin zuhud adalah kosong dari segala yang di syurga dan di dunia dan semata-mata hanya Allah tujuan dan tempat akhirnya.

Justeru sebagai ahli gerakan yang seharusnya kekal relevan terhadap masyarakat, kita wajar menginsafi kedua-dua sifat ini dan sedia mengamalkannya dalam kehidupan harian kita.

Cabaran Kontemporari

1. Kecemerlangan akademik dan kepakaran dirujuk

2. Pengaruh ekonomi dan desakan kewangan

3. Populariti media dan gelombang kesedaran

4. Model tauladan dan keperibadian unggul

Implikasi Zuhud

1. Melahirkan tokoh akademik unggul di kalangan ahli PKPIM selain mampun menjadi tempat rujukan bagi bidang yang dipelajarinya. Meskipun begitu, mereka masih mampu kekal konsisten dengan disiplin harakah dan tidak sekali-kali merasa besar diri dan riak yang akhirnya mewujudkan benteng dengan ahli gerakan lain dan masyarakat umumnya.

2. Melahirkan Generasi Al-Auf, yang tidak kosong tangannya, agar dapat membantu dari aspek penjanaan kewangan gerakan dan masyarakat. Generasi Al-Auf ini diharap tidak akan sekali-kali berkira-kira khususnya kepada gerakan.

3. Melahirkan media oriented person yang senang mendampingi dan didampingi media agar pelan kesedaran yang dibawa oleh PKPIM akan dapat ditambah unsur catalyst atau faktor penyegera dan multiplication factor.

4. Melahirkan tokoh dan idola generasi muda yang menjadi fenomena kepada semua peringkat masyarakat yang sangat jelas dengan misinya untuk merakyatkan kesedaran beragama di kalangan rakyat.

Sumber

1. Dr Abdullah Yassin, Bahaya Jasad dan Cara Mengubatinya

2. Majlis Agama Islam Singapura, Khutbah Jumaat: Dengki dan Hasad (Jun 16, 2000)

3. Mustaffa Abdul Rahman, Hadith 40: Terjemahan dan Syarahnya, Hadith 31 m.343-350.

No comments:

Post a Comment