Monday, October 5, 2009

Gempa Padang: Respon Naib Presiden Antarabangsa PKPIM

Tabung Kemanusiaan Ummat yang telah dilancarkan oleh Presiden PKPIM petang ini akan digerakkan bersama dengan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII). Meskipun telah banyak tabung dilancarkan, baik di dalam mahupun di luar negara, dengan pelbagai tujuan dan matlamat, namun ia masih belum mencukupi.

Dengan jumlah kematian yang dijangkakan melebihi 3000 orang, ancaman penyakit pasca bencana yang semakin menular, dan kejadian gempa susulan yang tidak diduga serta masalah penghantaran bantuan bakal meruncingkan lagi keadaan di sana.


PKPIM sedar bantuan awal yang diberikan hanya terhad kepada aspek bantuan sokongan hidup khususnya kepada mangsa gempa. Justeru, tabung bersama PKPIM dan PII ini bukan sahaja akan memberi fokus kepada bentuk bantuan awal bencana malah akan lebih digunakan bagi menyokong program pembangunan semula Padang khususnya dari aspek pendidikan.

Bagi maksud tersebut, Naib Presiden Antarabangsa PKPIM, Abu Qassim Nor Azmi bersama rakan sejawat dari PII, serta Jawatankusa Khas Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT) yang turut dianggotai Singapura dan Thailand akan bermesyuarat pada selewat-lewatnya awal Disember ini bagi membincangkan rangka pelan pembangunan semula pendidikan di Padang dari perspektif pelajar.

Dalam menunggu persidangan tersebut, PKPIM dan PII telah bersetuju untuk memulakan langkah awal dengan menggerakkan kempen kesedaran di kalangan rakyat, melobi bakal-bakal penyumbang, dan membincang dan mengumpulkan maklumat-maklumat penting untuk menyediakan draf awal perancangan pembangunan pendidikan tersebut yang selari dengan kemampuan kami.

Sedar bahawa ia memerlukan kos yang besar dan mencakupi pelbagai bentuk birokrasi, justeru PKPIM dan PII berharap akan mendapat sokongan penuh dari pihak kerajaan kedua-dua negara dan menyeru lebih ramai penyumbang untuk bersama-sama menjayakan misi murni ini.

PKPIM percaya pelan pembangunan ini akan mampu menyokong proses pembangunan semula Padang khususnya di sekitar Pariaman yang hampir 80 peratus musnah ekoran gempa tersebut.

Akhirnya, PKPIM berharap agar semua pihak tidak putus asa untuk terus berdoa dan mengharapkan pertolongan dan sokongan dari Tuhan. Dalam keadaan genting seperti ini, selain usaha yang digerakkan, PKPIM percaya perasaan redha dengan ketentuan-Nya akan dapat memastikan kestabilan emosi di kalangan mangsa dapat dikekalkan.

ABU QASSIM NOR AZMI

Naib Presiden Antarabangsa PKPIM

+019-3565805

aqna_86@yahoo.com

No comments:

Post a Comment