Monday, October 5, 2009

JAG, SIS Didesak Tarik Kenyataan


Kuantan - Sebanyak 14 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Pahang hari ini menuntut Kumpulan Tindakan Bersama Untuk Persamaan Jantina (JAG) dan Sisters In Islam (SIS) menarik balik kenyataan mereka yang mendakwa hukuman sebat syarie adalah kejam. Dalam kenyataan bersama yang dibacakan oleh Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abdul Manan hari ini, NGO terbabit turut menuntut JAG dan SIS memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam kerana menghina hukum Islam dan mahkamah syariah yang melaksanakan perundangan syariah.

“Kami juga menuntut agar kerajaan bertindak tegas terhadap pihak yang mencabar kedudukan Islam dan perundangan syariah yang telah dijamin kedudukannya dalam Perlembagaan negara. “Penganut agama lain juga diminta tidak mencampuri dan mempertikaikan urusan agama Islam,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Pahang di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Naib Presiden PKPIM, Abu Qassim Nor Azmi, menyeru agar rakyat tenang dan tidak bertindak atas dasar emosi semat-mata. "Inilah peluang terbaik untuk kita memaparkan imej murni Islam sebenar. Hikmah harus didahulukan agar persepsi longgar masyarakat terhadap Islam akan dapat diharmonikan dengan sebaiknya."

Beliau menambah, "aspek mendidik masyarakat harus diberikan penumpuan kerana berlakunya polemik ini adalah kerana ceteknya permahahan rakyat terhadap undang-undang Islam dan sistem kehakiman syariah negara." Walaupun ada pihak yang cuba memutar-belitkan isu ini namun sekiranya rakyat sedar dan maklum, sudah pasti isu ini tidak akan menjadi separah ini.

Turut membantah adalah peguam-peguam Syarie Pahang, Jemaah Islah Malaysia Pahang, Himpunan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Haluan) Pahang, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Pahang dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

No comments:

Post a Comment