Sunday, September 13, 2009

“Swapping Malaysian” Cetus Konflik Identiti

Perdamaian harus mendahului persengketaan. Pemuafakatan nurani Malaysia-Indonesia teras pengukuhan perpaduan dan keharmonian rakyat di Kepulauan Nusantara. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kesejahteraan Asean akan turut terjejas jika kedua-dua negara ini terus berkonflik.

Kami menyelar tindakan melulu segelintir pihak yang terlalu beremosi sehingga sanggup mengenepikan aspek kemanusiaan dan menggadai nilai kekeluargaan yang telah sekian lama dipertahankan.

Kami mengkritik tindakan “Swapping Malaysian” dan pencerobohan ke atas Kedutaan Malaysia di Indonesia sebagai tidak bertanggungjawab dan melampaui batas norma dan citra kebudayaan rumpun Melayu yang terkenal dengan adab dan budi pekerti yang tinggi. Tragedi ini secara langsung mencetuskan konflik identiti kemelayuan unggul yang turut dikongsi bersama Malaysia-Indonesia.

Kami juga mengutuk sekeras-keranya pihak yang terus-terusan menyuntik api kemarahan rakyat dan memperjudikan isu ini demi kepentingan peribadi dan survival politik mereka. Menyemarakkan isu ini sebagai menutupi kelemahan sendiri adalah tidakan yang tidak bermaruah dan menghinakan.

Selain itu, kami menyeru agar Kerajaan Malaysia untuk tidak lepas tangan dan menuding jari kepada pihak ketiga. Sewajarnya, pihak Kementerian Pelancongan turut bertanggungjwab dengan apa yang telah terjadi. Sikap “membangau” pihak kementerian akan hanya mengeruhkan lagi keadaan.

Namun, kami tetap memuji ketegasan pemimpinan kedua-dua negara berhubung isu ini. Peristiwa yang berlaku menyerlahkan kematangan dan wawasan kedua-dua pemimpin untuk melihat isu ini dari konteks yang lebih luas.

Tragedi hitam “Ganyang Malaysia” ekoran isu pembentukan Malaysia pada tahun 1963 yang turut melibatkan penentangan bersenjata pihak tentera mungkin telah dihadam dengan baik oleh pemimpin tertinggi kedua-dua negara ini. Konflik yang berpanjangan selama tiga tahun tersebut yang berakhir secara rasminya pada Ogos 11, 1966 telah meninggalkan kesan yang cukup besar terhadap citra politik kedua-dua negara.

Dua episod yang hampir sama, tetapi memaparkan perbezaan watak yang cukup ketara. Perwatakan hikmah dan kebijaksanaan Najib dan SBY dengan keangkuhan, egoisme dan perangai kebudak-budakkan pemimpin Malaysia-Indonesia pada ketika itu.

Di samping itu, kami menghargai kecekalan penuntut Malaysia yang masih bersemangat untuk membantu mangsa gempa walau dihambat kritikan dan tohmah. Pengorbanan mereka seharusnya membuka mata segelintir rakyat Indonesia yang teralpa seketika dari menjadi insan yang bermartabat.

Sesuatu konflik tidak akan dapat diselesaikan sekiranya kita masih lagi bersikap egoistik dan hanya mementingkan diri sendiri. Selaras dengan hadis Nabi (saw) yang bermaksud, “tiga faktor yang seringkali mencetuskan pelbagai krisis dan malapetaka iaitu, sifat bakhil yang menguasai diri, hawa nafsu yang tidak terkawal, dan sifat kagum, angkuh, dan degil dengan pendapat sendiri” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad).

Justeru, sikap berlapang dada, berjiwa besar, berwawasan dan berobjektif dalam menangani isu adalah kunci kepada pintu keluar konflik yang terjadi. Semua pihak diseru mencintai kedamaian, dan menjauhi persengketaan.

Firman Allah (SWT) dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang bermaksud, “Dan berpengan teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan jangalah kamu becerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersepadu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.

ABU QASSIM NOR AZMI

Naib Presiden Antarabangsa PKPIM

No comments:

Post a Comment