Thursday, September 17, 2009

Memupuk Budaya Integriti dan Inovasi

Jawatankuasa Induk Gerakan Massa
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
16 September 2009 bersamaan 26 Ramadhan 1430 H

Statistik menunjukkan golongan belia yang berumur 15 hingga 40 tahun meliputi lebih 40 peratus daripada penduduk Malaysia. Daripada peratusan ini, sebahagiannya adalah terdiri daripada kalangan pelajar dan mahasiswa. Umum mengetahui, generasi belia berintegriti diharap dapat mewarisi tampuk kepimpinan negara pada masa akan datang.

Belia yang dikatakan berintegriti ialah mereka yang menjaga adab dan sahsiah diri dari pelbagai penyakit sosial seperti keruntuhan akhlak dan moral dan keterlibatan dalam jenayah. Sebaliknya, realiti hari ini menyaksikan golongan belia ini sering dikaitkan dengan penyakit-penyakit sosial seperti penyalahgunaan dadah, pergaulan tanpa batas, budaya hedonisme dan yang lebih memeranjatkan potensi amalan rasuah yang semakin meningkat.

Meskipun permasalahan integriti tidak hanya berkisar di sekitar persoalan rasuah, namun, sebagai pewaris kepimpinan mendatang, isu ini harus dipandang serius kerana ia dilihat sebagai inti permasalahn dalam kepincangan sosial, ekonomi dan politik negara pada hari ini.

Sebagai contoh, pada tahun 2002, sebuah kajian persepsi awam dikalangan belia telah dijalankan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM). Dapatan kajian mendapati 31 peratus pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sanggup menerima rasuah sekiranya mereka mempunyai kuasa dan peluang.

Selain itu, merujuk Indeks Persepsi Rasuah bagi tahun 2008 yang dikeluarkan oleh Transparency International, Malaysia berada di kedudukan ke-47 daripada 180 buah negara dengan purata indeks 5.1. Walaupun kita jauh lebih baik daripada Indonesia dan Thailand, namun kita juga masih jauh ketinggalan berbanding Singapura yang berada di tangga keempat dengan purata indeks 9.2 dibelakang Denmak, New Zealand danSweeden. Malaysia juga mencatatkan kejatuhan yang signifikan jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa pengamalan integriti dalam diri masyarakat khususnya golongan belia, pelajar dan mahasiswa adalah masih di tahap yang membimbangkan. Meskipun memiliki kemudahan infrastruktur yang setanding dengan negara-negara maju yang lain, namun kita masih terbelenggu dengan pemikiran dan citra kehidupan negara kelas ketiga yang membelakangkan aspek integriti.

Terdapat beberapa faktor yang menyahintegritikan bangsa Malaysia khususnya di kalangan mahasiswa yang menjadi penyumbang kepada berlakunya penularan gejala rasuah ini. Antara faktor-faktor tersebut adalah:-

1. kurangnya penghayatan terhadap ajaran agama dan prinsip moral,
2. kelemahan sistem pendidikan yang terlalu menekankan aspek gred dan pencapaian mata seraya menyisihkan pembinaan karekter unggul dan pembentukan modal insan,
3. kegagalan proses sosialisasi ekonomi dalam mengurangkan jurang pendapatan dan kadar kemiskinan tegar di kalangan rakyat yang menjurus kepada suasana tidak stabil dan harmoni,
4. kegagalan penguatkuasaan undang-undang dan pelaksanaan dasar yang sekadar bermusim dan selektif,
5. kepincangan politik ekstrem yang menafikan politik hikmah dalam sarwa kepemimpinan negara yang terkait secara langsung dengan pembentukan pola fikir mahasiswa yang jumud dan tertawan.

Gejala rasuah yang semakin menular ini jika tidak dibendung dari semasa ke semasa akan merosakkan jatidiri masyarakat dan generasi muda serta menggagalkan hasrat kerajaan menerusi TEKAD 2008 yang antaranya membenteras budaya rasuah dan penyalah gunaan kuasa secara berkesan.

PKPIM ingin melahirkan kebimbangan kami terhadap tahap integriti mahasiswa yang berpotensi untuk mengecewakan ini. Justeru, kami berpendirian dan ingin menegaskan bahawasanya:-

1. Integriti adalah teras keberdayaan “minda dan budaya cemerlang”.
2. Integriti merupakan aspirasi daripada integrasi nilai agama dan prinsip moral yang menuntut kebolehtahanan dan kepercayaan diri yang tinggi.
3. Dimensi integriti perlu bersifat integral dan holistik yang meliputi aspek penjiwaan (hati), pemikiran (akal) dan pengamalan (fizikal)

a. Pembenaran hati dengan mengelak perasaan buruk sangka dan menyuburkan sikap berlapang dada dalam diri setiap individu. Integritimengharmonikan nilai penerimaan dan toleransi seperti yang digagaskan dalam konsep 1 Malaysia. Pembentukan negara bangsa sangat terkait dengan perkara ini.
b. Pemikiran: Adil dan bijaksanan dalam mengupas dan menanggapi sesuatu isu. Mahasiswa digesa bersikap kritis dan kreatif selaras dengan wataknya sebagai “minda kritikal masyarakat” dalam mengemukakan sesuatu pandangan dan penilaian demi manfaat semua pihak.
c. Perlaksanaan sesuatu perancangan secara sistematik, efektif dan bersungguh-sungguh. Ini bagi memastikan keputusan yang berkualiti dapat dihasilkan.

4. Integriti dan dasar-dasar besar Kerajaan seperti Wawasan 2020, Islam Hadhari, 1Malaysia dan falsafah-falsafah negara perlu diharmoni dan disinergikan secara kolektif dan kemudiannya diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan yang lebih berobjektif.
5. Tindakan proaktif perlu diambil dengan memberi fokus kepada amalan integriti golongan mahasiswa. Ini meliputi perencanaan 25 tahun mendatang yang mensasarkan produk akhir “sifar rasuah” dikalangan pimpinan utama negara menjelang tahun 2035.

Oleh itu, tindakan proaktif yang dicadangkan perlu melalui proses 3P iaitu penyedaran, penghayatan, dan pemupukan budaya dengan strategi yang lebih berinovasi dan berkesan. Proses 3P ini boleh dihadam menerusi tindakan berikut:-

1. Menyuburkan siri diskusi dan bengkel yang komprehensif dan konsisten.
2. Memperbanyakkan penulisan artikel dan penerbitan makalah ilmiah serta karya kreatif yang mempromosi faham integriti. Melahirkan lebih ramai kartunis seperti LAT juga mampu mepelbagaikan corak penyampaian yang lebih bersahaja tetapi sarat makna kepada audience yang sukar ditembusi menerusi makalah ilmiayah biasa.
3. Meningkatkan partisipasi aktif mahasiswa dalam rancangan bual bicara terbitan media arus perdana dan alternatif di setiap rangkaian televisyen, radio dan webTV.
4. Menonjolkan tokoh atau tauladan integriti mahasiswa.
5. Menambah nilai inovasi bagi program kesedaran supaya lebih menarik dan berkesan selain memuatkan elemen-elemen integriti dalam setiap program anjuran mahasiswa.
6. Menggagaskan “Deklarasi Integriti Mahasiswa” yang menjadi guiding principle kepada setiap perancangan mahasiswa.

Bagi menjayakan misi ini, PKPIM mengesyorkan agar Sekretariat Gerakan Mahasiswa Anti Rasuah (GEMARAS) ditubuhkan di peringkat nasional bagi menangani isu ini secara lebih serius. Hal ini selaras dengan The Guatemala Declaration on Young People’sEngagement yang dirumus di Persidangan Antarabangsa Anti Korupsi ke-12 pada 2006. Keahlian GEMARAS terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA dan IPTS), pertubuhan yang berteraskan pelajar (persatuan pelajar) dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan lain yang mendukung penyuburan nilai dan pengamalan integriti. Antara tujuan penubuhan GEMARAS adalah :

1. Mengkoordinasi perencanaan gerak kerja secara sistematik dan tersusun.
2. Memantau dan menilai gerak kerja dari semasa ke semasa.
3. Mewujudkan medium perbincangan kritis terhadap isu-isu berkaitan konsep dan pengamalan integriti selaras dengan peranannya sebagai “penemu pandangan tengah”.
4. Mewakili mahasiswa dalam mendepani isu integriti di dalam dan luar negara. Mahasiswa juga perlu diberi ruang dan peluang untuk menjadi ‘mediator’ di antara pihak kerajaan dan swasta dengan masyarakat awam.
5. Memimpin momentum kesedaran dikalangan mahasiswa.

Selain itu, PKPIM juga mencadangkan agar “Forum Integriti Mahasiswa” atau singkatannya FORUM dilancarkan di seluruh IPTA dan IPTS bagi mengkoordinasi dan menggerakkan program-program di peringkat kampus. FORUM akan memastikan agenda perataan pemahaman dan pemupukan budaya berintegriti dapat dijayakan.

GEMARAS dan FORUM tidak akan sekali-kali tunduk dengan desakan kelompok ketiga yang ingin menjadi penentu mutlak salah-benar sesuatu perkara. Sikap non-partisan kedua-dua entiti ini akan terus dipertahankan agar prinsip kebenaran dan keadilan yang disandarkan kepada pertimbangan ilmu dan hikmah akan mampu memacu penyuburan identiti yang berintegriti.

Oleh hal yang demikian, PKPIM menyeru kepada semua pimpinan mahasiswa untuk terlibat secara langsung dengan GEMARAS dan FORUM bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya seperti yang diharapkan. GEMARAS dan FORUM akan membawa misi pemurnian integriti mahasiswa selari dengan tagline “Menjana Mahasiswa Berintegriti&Berinovasi” (M2I).

“Pencetus Mahasiswa Baru”

ABU QASSIM NOR AZMI
Naib Presiden PKPIM

Abu Qassim,“Inovasi memerdekakan minda, manakala integriti mendisiplinkannya... Pelajar yang berintegriti dan berinovasi mampu menyelesaikan sesuatu masalah dengan di luar jangkauan biasa yang baik untuk dirinya dan masyarakat sekeliling...Inovasi menjadikan kita kaya, integriti menjadikan kita dermawan”.

No comments:

Post a Comment