Monday, August 31, 2009

Tiga Teras Hayati Kemerdekaan

Saban tahun, tarikh keramat 31 Ogos 1957 bakal dikenang dan terus dikenang. Meskipun telah lebih separuh abad kita melayari bahtera merdeka ini, namun persoalan pokok kemerdekaan masih belum tuntas dijawab dan dihayati dengan sepenuhnya.

Transisi satu generasi ke generasi yang lain, mempelbagaikan faham dan makna kemerdekaan. Kepelbagaian ini bertitik tolak dari arus perubahan yang menghambat bukan sahaja suasanan dan situasi persekitaran yang dapat dicapai oleh indera manusia, tetapi sistem nilai dan tatacara kehidupan turut terkesan sama.

Ada tempat dan ketikanya, kita dituntut untuk berubah, dan ada juga sebaliknya. Perubahan untuk melaksanakan pemodenan fizikal seperti membangun konglomerat-konglomerat agung, menaik taraf infrastruktur awam, memperkaya cabang ekonomi, memperluas capaian teknologi dan sebagainya adalah suatu perubahan yang baik dan sangat diperlukan.

Walau bagaimanapun, perubahan asasi kepada sistem nilai dan tatacara kehidupan yang telah mantap dan sepadu serta dijelmakan dari dimensi yang holistik adalah sesatu yang tidak wajar. Keasyikkan merubah seharusnya diarahkan kepada perubahan yang lebih signifikan dalam memurnikan rangka dan tingkat pemahaman terhadap asas-asas tersebut agar sedia dipraktik dan dibudayakan dengan sebaiknya.

Justeru, dalam menilai tanggal keramat ini, tiga aspek perlu diperhalusi bagi menzahirkan ‘izzahnya. Pertama, sejarah yang diambil ikhtibarnya; kedua, realiti semasa yang dimuhasabah; dan ketiga, harapan mendatang yang memaut semangat bekerja.

Kemerdekaan bukan proses sehari dua tetapi tetapi perjuangan panjang yang banyak menyimpan khazanah ‘ibrah untuk diguna pakai hari ini dan masa hadapan. Siri peristiwa tersebut bukan untuk dinostalgiakan tetapi dimengertikan maknanya dan diambil pengajarannya. Tun Mahathir (2005) pernah mengungkapkan dalam puisinya, Erti Kemedekaan, ‘mereka yang tidak belajar dari sejarah mereka didera dengan mengulangi kesalahan-kesalahan mereka berkali-kali’. Sejarah memahamkan kita kesilapan dahulu dan memandu kita ke arah yang lebih baik di masa mendatang.

Realiti semasa menjadi asas muhasabah terhadap perjalanan kita yang panjang. Kita wajar berhenti seketika, merujuk kembali peta asal agar tidak tersilap arah. Kondisi diri, bahtera yang melayari, serta keadaan sekeliling perlu dianalisa sebaiknya supaya berpadanan dengan plan asal dan berkemampunan menggerak hingga ke akhir destinasi. Segala cacat cela, ketempangan dan kerosakan pada komponen-komponen berikut harus dibaiki.

Ungkapan “menang isi kalah bentuk” selari dengan hakikat di sebalik kemerdekaan negara yang menjangkau lima dekad, apabila menyaksikan ada kelompk masyarakat, terutama generasi muda yang masih belum memenuhi hasrat kemerdekaan seperti yang diharapkan. Produk remaja yang mengecewakan, kegawatan sosial, krisis identiti, dan dilema anak muda melingkari permasalahan semasa. Selain itu, pengaruh politik ekstrem dan ketidak berkesanan pengurusan dan kepimpinan ekonomi menjadikan ia semakin tidak menentu. Kesannya, isu perpaduan rakyat merdeka ini terus diperjudikan.

Justeru, pengislahan yang menyeluruh perlu dilaksanakan. Generasi muda harus disinergikan dengan bekal ilmu dan rasa bertuhan. Masyarakat disemarakkan dengan sikap toleransi dan “penerimaan” agar terjalin dengan lebih utuh ukhwah persaudaraan. Politik ekstrem dikendurkan dengan budaya hormat-kritis bagi melahirkan politik hikmah. Menolak politik ampu, mendukung politik ilmu. Kepimpinan ekonomi dilandaskan prinsip keadilan dan inovasi supaya daya saingnya dapat ditingkatkan dan kesejahteraan awam dapat dikekalkan.

Komponen yang siap diselenggara dan dibaiki ini seterusnya akan meneruskan kembali tugasnya. Justeru, bagi memastikan momentum kerja yang berterusan, maka harapan dan impian yang yang telah disepakati bersama akan terus dicanang dan diwarkan. Impian mencapai Wawasan 2020, dengan pencapaian KDNK sebenar negara sekitar RM 900 bilion, dan pendapatan per kapita disasarkan melebihi RM 20, 000.00, serta pembangunan lestari dan menyeluruh dari setiap aspek meliputi aspek batiniyah dan lahiriyah lainnya, maka usaha keras harus digembeleng bersama. Matlamat ulung ini tidak mungkin dapat dicapai sekiranya kita sekadar “hangat-hangat tahi ayam”.

Kesimpulannya, keramat tarikh ini akan hanya kekal keramat sekiranya semua pihak dapat menanggapinya sebagai detik himpunan siri sejarah lalu, muhasabah realiti semasa, dan harapan dan impian generasi mendatang. Rakyat Malaysia diseru dalam kesingkatan sehari itu untuk menghayati dan mengenang kembali pengorbanan generasi awal dalam merealisasi dan mengisi detik awal kemerdekaan, memuhasabah senario dan pencapaian semasa, dan kembali memperbaharui azam dan menguatkan tekad untuk menyambung tinggalan tugas lepas seterusnya menyempurnakannya. Hari Kemerdekaan tidak akan meninggalkan apa-apa makna jika ketiga-tiga aspek ini terus dipinggirkan dari ruang penghayatan kemerdekaan.

No comments:

Post a Comment