Wednesday, August 19, 2009

Resolusi Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-teras Kenegaraan

RESOLUSI

KONGRES PELAJAR DAN PENEGASAN TERAS-TERAS KENEGARAAN

Kami dari Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah berbesar hati dengan kehadiran peserta-peserta ke Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan bersempena dengan Majlis Perhimpunan Tahunan (MPAT) PKPIM kali ke-48 yang telah diadakan di Wisma Belia, Kompleks MAYC, 40, Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur pada 8 Ogos 2009 bersamaan dengan 17 Sya’ban 1430 Hijrah. Objektif Kongres ini adalah seperti berikut:

1. Memberi makna dan kefahaman yang jelas akan teras-teras kenegaraan di dalam mendepani isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia hari ini dan akan datang.

2. Merintis usaha transformasi Malaysia ke arah kehidupan bernegara yang lebih baik untuk seluruh rakyatnya.

3. Mewujudkan wadah penyampaian dan perbincangan untuk penghayatan makna dan perkaitan antara slogan ‘Satu Malaysia’ dan gagasan ‘Politik Baru’.

4. Menghasilkan gagasan baru melalui pembinaan pemikiran dan pengupayaan kemahiran generasi muda sebagai panduan buat generasi muda hari ini sebagai pemangkin dan penerus kesinambungan kehidupan negara Malaysia.

Kongres ini telah dsertai oleh seramai 250 orang yang terdiri dari kalangan pimpinan mahasiswa, wakil NGO, pegawai-pegawai kerajaan dan para ilmuan. Kongres dibahagikan kepada tiga sesi iaitu ucaptama oleh YB Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan amanat Presiden PKPIM. Seterusnya, sidang satu yang membicarakan Islam sebagai teras kenegaraan, dan sidang selari yang membahaskan tiga sektor utama kenegaraan iaitu integriti, perpaduan dan sosial, serta ekonomi. Forum Khas Mahasiswa mempericikan pandangan serta tugas dan peranan generasi muda terhadap penyuburan perpaduan nasional dan aspek-aspek yang merantaiinya.

PERNYATAAN: 3 RESOLUSI KONGRES

Isu perpaduan bukanlah suatu isu yang baru, namun ia tidak basi untuk terus dibahaskan. Ini kerana, perpaduan adalah sangat penting dalam pembinaan sebuah Negara yang harmoni. Perpaduan tidak mungkin dapat dicapai dalam masa sehari, tetapi ia memerlukan jangka masa yang panjang disertai dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi oleh semua juzuk dan lapisan masyarakat. Di atas keprihatinan ini, maka kami peserta Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan dengan ini menyatakan pendirian kami bahawa:

1. Perpaduan Melayu adalah teras kepada perpaduan nasional. Pernyataan ini tidak didorongi apatah lagi didasari semangat perkauman, tetapi bertitik tolak dari kepentingan peranan faktor-faktor yang melatari sejarah, sosio-budaya, geo-politik tanahair dan yang lebih utama peranan Islam itu sendiri dalam pembentukan Negara-bangsa. Pertikaian kepada faktor-faktor ini hanya akan mengundang bahana terhadap kestabilan dan keharmonian masyarakat yang telah terbina selama ini. Atas dasar inilah, PKPIM komited untuk menganjurkan Forum Perpaduan Ummah dalam masa terdekat demi kesejahteraan semua pihak.

2. Integriti pemangkin kebertanggungjawaban idea dan keberhasilan pelaksanaan. Dalam mendepani isu-isu semasa yang berlaku dalam masyarakat, maka persoalan integriti amat dititik-beratkan. Integriti boleh didefinisikan sebagai kebolehpercayaan, teguh jati diri dan tidak mudah dipengaruhi dengan anasir-anasir jahat yang menggugat kestabilan dan kerangka fikir sebagai generasi muda berwibawa. Akhlak dan adab adalah teras penting dalam pembentukan integriti dalam diri. Dalam memastikan keberhasilan produk akhir, kami percaya bahawa integriti perlu dalam setiap perancangan dan pelaksanaannya.

3. Ekonomi mapan dan pembangunan lestari jaminan kestabilan Negara. Oleh itu, liberalisasi ekonomi yang terpantau pelaksanaannya yang telah dimulakan sejak kepimpinan lepas dan diteruskan oleh kepimpinan semasa adalah satu langkah bijak bagi meningkatkan daya saing dan taraf hidup masyarakat ke arah yang lebih baik. Model Ekonomi Baru yang bakal diperkenalkan memberi ruang yang besar dalam sektor perniagaan yang kami yakin merupakan alternatif terbaik kepada kadar pengangguran graduan dan peningkatan nilai ekonomi negara. Justeru, usaha PKPIM seterusnya ialah mempromosi gagasan ini dalam program-program yang dianjurkannya. Natijahnya, ia diharap dapat meningkatkan kesedaran dan membuka peluang dan ruang kepada generasi muda untuk terlibat secara langsung dalam sektor ekonomi.

Secara tuntasnya, PKPIM merasakan bahawa mahasiswa dan generasi muda perlu bersifat kritikal bersandarkan kebenaran ilmu bagi menangkis budaya sinikal yang boleh menggangu gugat ketetapan idealisme dan kesungguhan aktivitisme. Generasi muda harus bersama memikul tugas memimpin Negara bukan menunggu masa depan tetapi dimulai dari sekarang.

“Hidup Biar Berjasa”

ABU QASSIM NOR AZMI

Naib Presiden PKPIM

merangkap Pengarah Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-teras Kenegaraan

No comments:

Post a Comment