Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada pelancaran TV-i yang disempurnakan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim pada 10 Apri lalu di Kuching, Sarawak.
PKPIM mengalu-alukan pembukaan saluran yang seratus-peratus bercirikan remaja tersebut dengan penawaran pelbagai program menarik yang sesuai dengan selera generasi muda.
PKPIM menyambut baik usaha proaktif dan berterusan oleh pihak kerajaan khususnya dari pihak KPKK dan RTM dalam memenuhi kehendak dan aspirasi generasi muda.
Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM menggariskan tiga prinsip teras agar saluran tersebut benar-benar mampu memberikan faedah yang maksimum kepada para penonton khususnya kelompok remaja.
Pertama, TV-i perlu menjadikan pendidikan sebagai teras utama saluran tersebut supaya mampu membangun generasi muda yang memiliki keperibadian unggul dan berminda agung.
Justeru, selaras dengan teras tersebut maka program hiburannya harus terkawal dan tidak melewati batas moral dan akhlak serta pada masa yang sama bersedia mengembangkan 16 nilai murni yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara selain dasar-dasar utama negara dalam bentuk yang lebih menarik dan berkesan.
Kedua, TV-i sebagai medium mempromosi bakat dan hasil kerja serta sudut pandang remaja. Teras ini memungkinkan tiadanya diskriminasi sosial terhadap remaja yang mempunyai bakat dan kebolehan di setiap pelusuk negara.
Bakat dan hasil kerja yang dimaksudkan juga tidak hanya tertumpu kepada aspek nyanyian dan lakonan semata-mata seperti yang banyaknya pada hari ini, tetapi harus lebih luas dan pelbagai yang meliputi seluruh dimensi keremajaan mereka.
Semua pihak juga harus menghormati dan berlapang dada menerima kritikan dan pandangan remaja menerusi TV-i sekiranya ia dibuat dengan penuh rasa tanggungjawab dan berhikmah. Hal ini bagi menjamin agar tidak ada rancangan yang diberhentikan atau mana-mana pihak yang diboikot gara-gara tidak sehaluan dengan pandangan pihak tertentu.
Ketiga, mewujudkan rakan strategik dari kalangan pemain industri supaya produk media yang dihasilkan berkualiti dan mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi dengan harapan agar TV-i pada satu ketika nanti mampu berdiri sendiri tanpa mengharapkan ihsan dari kerajaan.
TV-i adalah aset dan bukannya liabiliti kepada kerajaan. Oleh hal yang demikian, PKPIM menggesa agar ketiga-tiga teras terebut diambil perhatian yang sewajarnya oleh pihak yang berwajib.
ABU QASSIM NOR AZMI
SETIAUSAHA AGUNG PKPIM
SESI 2010/2011
No comments:
Post a Comment