Tuesday, August 10, 2010

Reformasi Parti Sokong Partisipasi Mahasiswa dalam Politik

PKPIM merakamkan penghargaan kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) atas inisiatif yang diambil dengan menganjurkan sidang meja bulat bagi membincangkan cadangan yang dibangkitkan oleh Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi untuk membenarkan mahasiswa menyertai politik.

PKPIM menghargai keikhlasan Datuk Saifuddin, dan mahu mengajak masyarakat untuk melihatnya dari sudut yang lebih luas agar tidak menimbulkan kekeliruan dan konflik di masa hadapan.

PKPIM menyokong cadangan tersebut sekiranya didasarkan kepada usaha meningkatkan kesedaran dan mengharmonikan pendidikan politik di kalangan mahasiswa dan generasi muda amnya.

Hal ini bertitik tolak dari kebimbangan PKPIM terhadap menularnya kelompok yang “jelek politik” atau sindrom “politicophobia” di IPTA dan IPTS di Malaysia hasil dari konflik dan polemik yang berpanjangan dalam arus perdana kontemporari.

Kita khuatir, sekiranya ia tidak dibendung, peristiwa seperti “Hari Tanpa Politik” yang pernah dianjurkan di Perancis akan menjadi budaya di negara kita yang pastinya menafikan kesyumulan makna hidup manusia.

PKPIM bertegas bahawa ia seharusnya direalisasikan sebagai suatu proses penghakupayaan mahasiswa atau “youth empowerment” dan bukanya “party empowerment” yang menjurus kepada usaha meningkatkan sokongan generasi muda kepada parti-parti tertentu.

Justeru, usaha harus menumpu kepada aspek pembangunan dimensi kemahasiswaan secara holistik meliputi aspek idealisme, intelektualisme dan aktivisme yang akhirnya mampu melahirkan pemimpin muda yang berketerampilan dan berdaya saing.

Oleh hal yang demikian, PKPIM merasakan perlunya tiga perkara berikut diambil perhatian agar cadangan tersebut benar-benar mendatangkan manfaat kepada mahasiswa dan negara keseluruhannya.

Pertama, perlunya perubahan minda politik pimpinan parti, pegawai universiti dan ibu bapa serta masyarakat.

Pimpinan politik harus benar-benar ikhlas menerima mahasiswa sebagai pemain utama dan bukannya sekadar penyokong setia atau pemain yang hanya memanaskan bangku simpanan. Pegawai universiti perlu berperanan sebagai fasilitator dalam memudahcara pergerakan mahasiswa dalam dunia politik dan tidak sebagai hakim penentu benar salah sesuatu parti. Ibu bapa dan masyarakat pula harus lebih terbuka dan menyokong dengan nasihat-nasihat yang bernas bagi memandu mahasiswa mendepani cabaran politik.

Kedua, parti harus berjiwa besar dalam membuka ruang dan peluang yang lebih luas kepada mahasiswa selaras dengan usaha memaksimumkan kapasiti intelektual dan aktivisme mereka yang cenderung menjadi golongan yang idealis dan kritikal terhadap sesuatu perkara khusunya yang melibatkan kebajikan rakyat.

Selaras denga peranan mahasiswa sebagai minda kritikal rakyat, “critical mind of the society” yang insaf dengan suara terbanyak, “conscience of the majority” maka mahsiswa tidak harus sekadar pemasang bendera, penjaga pondok panas, dan tok dalang dalam berkempen tetapi rakan berdebat dan teman berbincang dalam menentukan halatuju dan wawasan parti dan negara.

Ketiga, mengekalkan identiti kemahasiswaan dan melestarikan tanggungjawabnya sebagai agen pencetus perubahan “agent of changes” yang mendukung usaha memurnikan dunia politik rimba kepada politik hikmah selaras dengan aspirasi yang pernah disuarakan oleh Datuk Saifuddin.

ABU QASSIM NOR AZMI

Setiausaha Agung PKPIM Sesi 2010-2011

No comments:

Post a Comment