Monday, April 11, 2011

TV-i Lahir Remaja Unggul: Pendidikan Teras Utama

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada pelancaran TV-i yang disempurnakan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim pada 10 Apri lalu di Kuching, Sarawak.

PKPIM mengalu-alukan pembukaan saluran yang seratus-peratus bercirikan remaja tersebut dengan penawaran pelbagai program menarik yang sesuai dengan selera generasi muda.

PKPIM menyambut baik usaha proaktif dan berterusan oleh pihak kerajaan khususnya dari pihak KPKK dan RTM dalam memenuhi kehendak dan aspirasi generasi muda.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM menggariskan tiga prinsip teras agar saluran tersebut benar-benar mampu memberikan faedah yang maksimum kepada para penonton khususnya kelompok remaja.

Pertama, TV-i perlu menjadikan pendidikan sebagai teras utama saluran tersebut supaya mampu membangun generasi muda yang memiliki keperibadian unggul dan berminda agung.

Justeru, selaras dengan teras tersebut maka program hiburannya harus terkawal dan tidak melewati batas moral dan akhlak serta pada masa yang sama bersedia mengembangkan 16 nilai murni yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara selain dasar-dasar utama negara dalam bentuk yang lebih menarik dan berkesan.

Kedua, TV-i sebagai medium mempromosi bakat dan hasil kerja serta sudut pandang remaja. Teras ini memungkinkan tiadanya diskriminasi sosial terhadap remaja yang mempunyai bakat dan kebolehan di setiap pelusuk negara.

Bakat dan hasil kerja yang dimaksudkan juga tidak hanya tertumpu kepada aspek nyanyian dan lakonan semata-mata seperti yang banyaknya pada hari ini, tetapi harus lebih luas dan pelbagai yang meliputi seluruh dimensi keremajaan mereka.

Semua pihak juga harus menghormati dan berlapang dada menerima kritikan dan pandangan remaja menerusi TV-i sekiranya ia dibuat dengan penuh rasa tanggungjawab dan berhikmah. Hal ini bagi menjamin agar tidak ada rancangan yang diberhentikan atau mana-mana pihak yang diboikot gara-gara tidak sehaluan dengan pandangan pihak tertentu.

Ketiga, mewujudkan rakan strategik dari kalangan pemain industri supaya produk media yang dihasilkan berkualiti dan mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi dengan harapan agar TV-i pada satu ketika nanti mampu berdiri sendiri tanpa mengharapkan ihsan dari kerajaan.

TV-i adalah aset dan bukannya liabiliti kepada kerajaan. Oleh hal yang demikian, PKPIM menggesa agar ketiga-tiga teras terebut diambil perhatian yang sewajarnya oleh pihak yang berwajib.

ABU QASSIM NOR AZMI

SETIAUSAHA AGUNG PKPIM

SESI 2010/2011

Tuesday, March 29, 2011

Laporan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Penggal III Sidang Ke-27 Tahun 2009-2010

Sebagai Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia Malaysia mewakili Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) ke Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) yang dipengerusikan oleh YB Dato' Seri Menteri Belia & Sukan.

http://mpbn.kbs.gov.my/mpbn/Laporan%20Persidangan%20MPBN%20Sidang%20III%20Penggal%20Ke-27%20Tahun%202009-2010.pdf

Thursday, March 17, 2011

Umat Islam Perlu Tingkat Kefahaman Agama

KUALA LUMPUR, 18 Mac: Umat Islam disaran berusaha mempertingkatkan kefahaman ajaran Islam agar lebih bersedia untuk berhadapan konflik agama yang semakin kompleks.

Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Abu Qassim Nor Azmi berkata, hanya dengan akidah yang mantap, ilmu yang benar, dan nilai hikmah dapat mempertajam dan memperluas skop dakwah.

“Kita tidak harus selamanya berselindung di sebalik undang-undang yang boleh pada bila-bila masa terpinda,” ujarnya.

Justeru, PKPIM mengulangi pendirian dengan menggesa 35 ribu Al-Kitab Injil berbahasa Melayu ditarik balik dan dibekukan pengedarannya kerana terdapat unsur subjudis ekoran beberapa perkara masih dalam proses perundangan khususnya berkaitan penggunaan Kalimah Allah dan lain-lain perkataan yang menjadi pertikaian sebelum ini.

Meskipun begitu, katanya PKPIM menyeru semua pihak agar akur dengan peruntukan perlembagaan dan undang-undang negara demi menjaga keamanan dan kesejahteraan umum.

Menurutnya, enakmen kawalan serta lain-lain peraturan yang terlibat harus dihormati.

Walau bagaimanapun, kata beliau secara dasar, ini tidak menolak usaha menterjemahnya dalam apa sahaja bahasa untuk lebih difahami penganut agama tersebut.

“Isunya, penterjemahan tersebut harus dibuat dengan tepat, benar dan ikhlas serta menuruti peraturan dan undang-undang setempat bagi mengelak konflik umum,” ujarnya.

Hal ini, tambahnya selaras dengan prinsip Islam yang tidak menghalang penganut agama lain untuk mendalami agama mereka.

PKPIM, katanya mengajak semua pihak terutamanya umat Islam untuk melihat isu itu dari sudut yang lebih luas.

“Apakah yang akan terjadi sekiranya Barat mengharamkan penterjemahan Al-Quran dalam Bahasa Inggeris, Perancis dan lain-lain bahasa yang menjadi medium umat Islam di sana untuk mendalami Al-Quran?

“Bagaimanakah nanti bagi Yvonne Ridley dan Cat Stevens untuk terus mendalami Al-Quran sekiranya ia berlaku?” soalnya.

PKPIM juga, ujarnya komited bahawa konsolidasi agamawan berwibawa harus diberikan ruang yang secukupnya untuk mengendurkan ketegangan dan menguraikan kekeliruan terhadap isu ini.

Menurutnya, dialog dan wacana bagi meningkatkan kefahaman antara agama perlu diperbanyakkan.

“Kita perlu serius dalam melahirkan penganut yang yakin pada agamanya serta menghormati keyakinan agama bagi penganut selain mereka,” katanya.

Sumber:

Beku Pengedaran Al-Kitab, Selesaikan Isu Kalimah Allah

PKPIM mengulangi pendiriannya dengan menggesa 35 ribu Al-Kitab Injil berbahasa Melayu ditarik balik dan dibekukan pengedarannya kerana terdapat unsur subjudis ekoran beberapa perkara masih dalam proses perundangan khususnya berkaitan penggunaan Kalimah Allah dan lain-lain perkataan yang menjadi pertikaian sebelum ini.

Walau bagaimanapun, secara dasar, ini tidak menolak usaha menterjemahnya dalam apa sahaja bahasa untuk lebih difahami penganut agama tersebut. Isunya, penterjemahan tersebut harus dibuat dengan tepat, benar dan ikhlas serta menuruti peraturan dan undang-undang setempat bagi mengelak konflik umum. Hal ini selaras dengan prinsip Islam yang tidak menghalang penganut agama lain untuk mendalami agama mereka.

PKPIM mengajak semua pihak terutamanya umat Islam untuk melihat isu ini dari sudut yang lebih luas. Apakah yang akan terjadi sekiranya Barat mengharamkan penterjemahan Al-Quran dalam Bahasa Inggeris, Perancis dan lain-lain bahasa yang menjadi medium umat Islam di sana untuk mendalami Al-Quran? Bagaimanakah nanti bagi Yvonne Ridley dan Cat Stevens untuk terus mendalami Al-Quran dan mendakwahkannya kepada masyarakat Barat yang lain?

Justeru, umat Islam disaran berusaha mempertingkatkan kefahaman berkenaan ajaran Islam agar lebih bersedia untuk berhadapan konflik agama yang semakin kompleks ini. Hanya dengan akidah yang mantap, ilmu yang benar, dan inspirasi nilai hikmah dapat mempertajam dan memperluas skop dakwah kita. Kita tidak harus selamanya berselindung disebalik undang-undang yang boleh pada bila-bila masa terpinda.

Oleh itu, semua pihak termasuk ibu bapa, para ustaz dan ustazah, pihak sekolah, pentadbir agama, dan penggerak NGO harus lebih bersungguh dan fokus kepada usaha meningkatkan kesedaran, merakyatkan kefahaman dan mendidik penjiwaan agama dalam diri setiap umat Islam.

Meskipun begitu, PKPIM menyeru semua pihak agar akur dengan peruntukan perlembagaan dan undang-undang negara demi menjaga keamanan dan kesejahteraan umum. Enakmen kawalan serta lain-lain peraturan yang terlibat harus dihormati.

PKPIM juga komited bahawa konsolidasi agamawan berwibawa harus diberikan ruang yang secukupnya untuk mengendurkan ketegangan dan menguraikan kekeliruan terhadap isu ini. Dialog dan wacana bagi meningkatkan kefahaman antara agama perlu diperbanyakkan. Kita perlu serius dalam melahirkan penganut yang yakin pada agamanya serta menghormati keyakinan agama penganut selain mereka.

Isu Al-Kitab: PKPIM Anjur Gerakan Kempen Kesedaran Ijtima'i

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada konflik agama yang kian hangat dibicarakan dalam media hari ini berhubung dengan terjemahan Bible atau Al-Kitab ke dalam bahasa Kebangsaan yang masih berada di landasan buntu.

PKPIM menyedari terdapat kerisauan dalam kalangan sebilangan masyarakat Islam berhubung perkara berkenaan lebih-lebih lagi apabila ia dikaitkan dengan agenda Kristianisasi terhadap generasi muda Melayu.

Namun, PKPIM secara tegas menyeru agar seluruh pihak berhenti menuding jari menyalahkan pihak lain berhubung perkara sedemikian memandangkan agenda Kristianisasi ini berlaku disebabkan kegagalan kita sendiri dalam mempersiap satu generasi yang kukuh pegangan aqidah dan jelas tasawwur Islam.

Lantaran itu, PKPIM mengambil inisiatif melancarkan Gerakan Kempen Kesedaran Ijtima’I (GKKI) yang membawa tema Islam Warnai Hidupku secara besar-besaran sebagai satu tindakan responsif terhadap krisis yang berlaku ini.

Tujuan utama pelancaran GKKI-PKPIM adalah untuk meningkatkan kesedaran dan menerapkan kefahaman Islam sebenar serta merungkaikan kekeliruan yang berlaku berikutan implikasi Al-Kitab terhadap Islam dan masyarakat umum.

GKKI-PKPIM yang akan dianjurkan pada 19-20 Mac 2011 ini di Masjid Taman Melati, Gombak ini akan turut dianjurkan di beberapa daerah, negeri dan kampus menerusi cawangan PKPIM yang wujud di kawasan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM menyanggah pandangan beberapa pihak yang membantah Bible dari diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan memandangkan Bahasa Melayu secara umum sudah diterima sebagai bahasa kebangsaan untuk semua tanpa mengira kelompok bangsa atau agama.

Dalam masa yang sama, bahasa kebangsaan ini juga merupakan satu-satu bahasa yang difahami sebilangan masyarakat Kristian di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Namun, PKPIM konsisten dengan pendirian untuk menentang beberapa istilah dari diguna pakai seperti Kalimah Allah, Solat, dan sebagainya memandangkan wujud pelbagai istilah lain dalam bahasa Melayu yang boleh digunakan serta mendesak kerajaan agar menghadkan pengedaran Bible tersebut dari masuk ke semenanjung Malaysia.

Sumber:

http://www.pkpim.net/index.php?option=com_content&view=article&id=624:-isu-al-kitab-pkpim-anjur-gerakan-kempen-kesedaran-ijtimai&catid=1:info-terkini&Itemid=50